Anda di sini

BN tidak ‘campur tangan’ dalam PRN12

Advertisement
Mohamad (tengah) bersama (dari kiri) Shabery, Ahmad, Khalid dan Shamsul beraksi selepas sidang media.
Mohamad (tengah) bersama (dari kiri) Shabery, Ahmad, Khalid dan Shamsul beraksi selepas sidang media.

KUCHING:  Barisan Nasional (BN) tidak akan ‘campur tangan’ untuk mengurus dan membantu Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12).

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia kerana BN percaya jentera daripada GPS mantap dan mereka lebih tahu mengenai keperluan Sarawak.

“Dengan kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari (Ketua Menteri) serta rakan pemimpin dalam GPS mereka telah mengurus serta mentadbir Sarawak dengan baik.

“Saya tidak nampak ada perlunya campur tangan untuk mengurus dan membantu PRN Sarawak tetapi jika mereka ada keperluan untuk beberapa pemimpin BN membantu, kami sentiasa ada,” katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, namun buat masa ini disebabkan BN merasakan kepimpinan GPS sudah cukup baik untuk menguruskan PRN dan mendapat kepercayaan daripada rakyat Sarawak, maka BN tidak akan terlibat dalam apa-apa berkaitan PRN.

Mengulas mengenai kunjungan BN bersama Abang Johari semalam, Mohamad berkata, ia bagi menyatakan sokongan padu BN kepada GPS pada PRN12.

“BN ingin menyatakan secara rasmi, buat pertama kalinya BN tidak akan bertanding dan menurunkan calon-calon serta tidak akan menggunakan logo Dacing pada PRN12 di Sarawak.

“GPS merupakan sahabat baik BN selama ini. Kita datang untuk menyatakan sokongan padu kepada GPS dan yakin GPS akan menang,” katanya.

Beliau menegaskan jika ada mana-mana pihak yang menggunakan logo Dacing semasa sepanjang tempoh PRN12 Sarawak, mereka tidak teragak-agak untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, GPS menggunakan logo tersendiri iaitu burung Kenyalang yang melambangkan Sarawak itu sendiri.

“Saya yakin ia tiada masalah dan paling penting GPS itu sendiri dikenali terutamanya pemimpin mereka serta diberi kepercayaan oleh rakyatnya,” tegasnya.

Sehubungan itu beliau berharap rakyat Sarawak akan terus memberi mandat besar kepada GPS pada pilihan raya ini.

Hadir sama sidang media, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khalid Nordin, Setiausaha Agung UMNO,Datuk Seri Ahmad Maslan dan dua ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk seri Shaberu Chik.
 

  • oleh
  • Advertisement