Anda di sini

Bersatu Bintulu rayu pucuk pimpinan bertanding di Kemena

Advertisement
 

BINTULU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) P217 Bintulu merayu pucuk pimpinan parti dan Perikatan Nasional (PN) agar memberi peluang untuk 
parti itu bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena berdasarkan kehendak ahli parti dan penduduk di kawasan tersebut.

Ketua Bahagiannya, Leftenan Madya (B) Duke Janteng (gambar) berkata, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberi jaminan untuk tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN) Sarawak.

"Itu langkah baik tetapi atas desakan ahli yang begitu ramai di kawasan DUN Kemena maka saya merayu pucuk pimpinan parti agar memberi peluang untuk beliau bertanding di kawasan DUN terbabit.

"Kita bertanding atas tiket Bersatu sekiranya diberi peluang namun kita akan tetap menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) di peringkat pentadbiran," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan PN Parlimen Bintulu, Pejabat Bersatu Jalan Sibiew di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Bersatu Negeri Sarawak berkata, pihaknya akan bertembung dengan GPS di Kemena tetapi tindakan untuk bertanding ini adalah kehendak ahli Bersatu yang paling ramai di kawasan itu.

"Kita mempunyai peluang yang cukup tinggi untuk menang di kawasan DUN Kemena. Kemungkinan jumlah yang tepat di kawasan itu adalah lebih kurang 15,000 hingga 16,000 orang ahli," ujarnya.

Begitupun untuk memuktamadkan kehendak itu Duke berkata, pihaknya belum mengesahkannya namun merayu majlis pimpinan parti untuk mempertimbangkannya.

"Saya telah bergiat dalam politik sejak tahun 2018 bermula melalui pergerakan Bersatu di Sarawak. Saya telah memperluas karier politik termasuk aktiviti kebajikan di kawasan Parlimen Bintulu hingga hari ini serta telah menjelajah kawasan dari DUN Samalaju, Jepak, Tanjong Batu dan Kemena," katanya.

Sehingga ke hari ini katanya, keahlian Bersatu di Parlimen Bintulu adalah lebih 23,000 orang dan dari jumlah itu lebih 13,000 orang di Kemena.

"Ini sekali gus ahli dan rakyat di kawasan itu meminta saya untuk bertanding pada PRN12 Sarawak ini dan saya menawarkan diri menjadi calon di DUN Kemena," katanya sambil menjelaskan penamaan calon ialah 6 Disember dan tarikh pembuangan undi pada 18 Disember depan.

Tambahnya, di Parlimen Bintulu mempunyai 106 cawangan Bersatu yang telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan DUN Kemena mempunyai 86 cawangan.

Katanya, keseluruhan ahli Bersatu di Bintulu ialah 24,242 orang merangkumi 2,296 ahli di DUN Jepak, 1,010 ahli di DUN Tanjong Batu, 13,985 ahli di DUN Kemena dan 6,951 ahli di DUN Samalaju.

Hadir sama dalam sidang media itu Ketua Bersatu Bahagian Parlimen Hulu Rajang merangkap Exco Sosial, Seni dan Kebudayaan Negeri Bersatu Datin Siki
Balarik dan ahli-ahli Bersatu.
 

  • oleh
  • Advertisement