Anda di sini

Bajet Sabah 2022 prihatin belia

Advertisement
FAIRUZ
FAIRUZ

KOTA KINABALU: Pembentangan Bajet Sabah 2022 nyata mementingkan semua aspek dan melihat belia sebagai skop pembangunan modal insan yang bakal menyumbang kepada pemulihan Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan Fairuz Renddan berkata, pencapaian kutipan hasil sebanyak RM4.912 billion atau 9.6 peratus lebih tinggi merupakan antara satu aspek yang amat membanggakan dan membuktikan kesungguhan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Jelas Fairuz, keprihatinan Kerajaan GRS kepada golongan belia dapat dilihat dari segi peruntukan untuk pembangunan modal insan dan belia dalam pembentangan tersebut.

“Sejumlah RM5.5 juta diperuntukkan untuk SEDCO yang antaranya adalah menyediakan Skim Usahawan Siswazah (SUS) dan Skim Usahawan Teknikal (SUK) untuk belia lepasan ijazah dari insititusi pengajian tinggi.

“Selain itu, sebanyak RM127.06 juta pula diperuntukkan untuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) serta RM23.87 juta untuk Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM), khas bertujuan untuk perihal mengendalikan kursus berkaitan teknologi, kemahiran yang juga mensasarkan untuk golongan belia dan beliawanis.

"Usaha menaiktaraf prasarana pusat latihan sedia ada serta latihan berkonsepkan keusahawanan yang pastinya akan menggilap potensi dan bakat usahawan muda,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, belia yang menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi juga bakal memperoleh manfaat khasnya dalam bidang sains dan teknologi.

“Sebanyak RM55 juta juga disediakan bagi tujuan biasiswa belia-belia yang bakal melanjutkan pengajian mereka khas dalam bidang sains dan teknologi.

“Kita juga amat berterima kasih kerana Kerajaan GRS turut prihatin dan Bantuan Khas Pendidikan dengan nilai RM10 juta turut disediakan melalui Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI).

“Banyak yang boleh dimanfaatkan oleh belia kita terutama yang melanjutkan pengajian, termasuk Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negari (BISTARI) yang diperkenalkan khas kepada anak-anak Sabah, yang lahir bermula tahun 2022 kelak.

"Mereka akan menerima manfaat dengan dibukakan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) sebanyak RM100,” katanya.

Dalam pada itu, Fairuz turut memberitahu bahawa Bajet yang dibentangkan itu juga sangat praktik dan bersifat inklusif dari semua perkara termasuk penyediaan dana sebanyak RM95.89 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS).

“Melalui peruntukan ini, terdapat peruntukan lain untuk persatuan-persatuan belia iaitu sebanyak RM5 juta, Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) sebanyak RM10 juta khas untuk membantu belia beliawanis menjana modal untuk memulakan perniagaan, serta peruntukan sebanyak RM52.02 juta kepada atlet untuk menyertai pertandingan dan kejohanan bertaraf dunia.

“Semua ini pastinya amat memberikan sinar baharu dan kegembiraan kepada golongan belia dan beliawanis kita di Sabah," katanya.
 
 

  • oleh
  • Advertisement