Anda di sini

Bajet Sabah 2022 jelas beri gambaran kerajaan GRS prihatin : Shahril

Advertisement
MOHD SHAHRIL OSIN
MOHD SHAHRIL OSIN


KOTA KINABALU: Bajet Sabah 2022 yang dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor jelas menggambarkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) amat mengutamakan rakyat di negeri ini.


Ketua Armada BERSATU Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar) berkata, tema 'Ekonomi Pulih, Rakyat Sejahtera' jelas menyasarkan untuk meningkatkan ekonomi rakyat dengan memfokuskan terhadap tiga aspek iaitu, pertanian, perindustrian dan pelancongan.


Jelas beliau, ia di yakini dapat memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini dari segi pertumbuhan ekonomi rakyat tetapi juga pada masa sama dapat menyumbang kepada hasil negeri nanti apabila Indonesia menjadikan Kalimantan sebagai ibu negara.


"Tiga teras utama yang digariskan dalam Bajet 2022 dilihat dapat mempastikan kerajaan tidak tersasar sekaligus memastikan matlamat tercapai. Bajet kali ini bukan sahaja diyakini akan memberi impak yang baik kepada rakyat tetapi juga kepada negeri dalam soal hasil nanti, " katanya.


Dalam pada itu, Shahril juga yakin soal pendidikan di negeri ini terus diperkasa oleh kerajaan GRS dengan meneruskan dua bentuk bantuan khas termasuklah memperkenalkan satu lagi bantuan iaitu, Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) yang dilihat memberi impak yang baik dalam jangka masa panjang.


Justeru, Shahril mengajak rakyat supaya bersama-sama memberikan sokongan dan dokongan kepada hasrat serta agenda kerajaan bagi memastikan ianya akan memberi manfaat yang lebih baik di masa hadapan.


Mengenai soal insentif yang diumumkan khusus untuk penjawat awam di negeri ini, Shahril percaya ia juga membuktikan kerajaan negeri yang diterajui GRS prihatin terhadap penjawat awam yang banyak menyumbang sepanjang pandemik ini.


Dalam masa sama, Shahril turut memberi peringatan kepada rakyat supaya terus berwaspada sepanjang masa memandangkan kes COVID-19 masih belum berakhir dan kemungkinan berdepan dengan ancaman varian baharu yang lebih membimbangkan.


Justeru pematuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) adalah amat penting bagi memastikan kes jangkitan COVID-19 dapat dilandaikan sekaligus menjamin kelancaran ekonomi rakyat yang ketika ini semakin pulih sejak beberapa sekatan dibuka.

  • oleh
  • Advertisement