Anda di sini

Australia catat kes pertama Omicron tular secara tempatan

Advertisement
 

SYDNEY: Australia semalam melaporkan seorang pelajar dengan tiada sejarah perjalanan ke luar negara telah didapati positif varian Omicron, kes pertama penularan secara tempatan yang dikesan di negara itu.

Kes dikesan di bandar terbesar Sydney muncul meskipun orang bukan penduduk tetap telah disekat dari memasuki negara itu dan penggantungan penerbangan dari Afrika Selatan, di mana varian itu mula dikesan.

Pihak Kesihatan New South Wales berkata, kes tersebut tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau hubungan dengan orang yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara, namun menegaskan bahawa siasatan lanjut dan pengesanan kontak sedang dilakukan.

Australia telah mengesan sembilan kes Omicron lain, namun semuanya adalah pelawat asing.

Kes terkini menimbulkan kebarangkalian bahawa Omicron mungkin telah merebak secara lebih meluas di kalangan komuniti.

Sekolah pelajar tersebut, Regents Park Christian School, di barat Sydney telah ditutup dan keluarganya dikatakan sedang dalam kuarantin.

Australia kini merekodkan kira-kira 2,000 kes COVID-19 sehari.

Selain vaksinasi, penyebaran virus telah dihadkan oleh penutupan sempadan selama dua tahun, kawalan pergerakan, ujian saringan yang agresif dan pengesanan termasuk sekatan perjalanan tempatan.

Pihak berkuasa telah menyuarakan keyakinan bahawa dengan 87 peratus daripada rakyat yang berusia lebih 16 tahun telah divaksin, negara itu bersedia untuk berdepan dengan varian baharu.

Kadar kemasukan ke hospital sekarang adalah rendah, dan angka kematian akibat pandemik berada pada 2,021.

Keterukan Omicron masih belum diketahui dan ia juga masih belum jelas sama ada ia akan mengurangkan keberkesanan vaksin yang sedia ada.

Namun terdapat kebimbangan varian itu mungkin lebih mudah merebak berbanding dengan varian Delta yang dominan. — AFP

Advertisement