Anda di sini

200 peserta antarabangsa bincang masa depan industri pelancongan

Advertisement
 Antara peserta yang mengikuti seminar berkenaan secara maya.
BINCANG: Antara peserta yang mengikuti seminar berkenaan secara maya.

KOTA KINABALU: Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Institut Teknologi Nasional, Kolej Fukushima Jepun, Universiti Adamson, Filipina dan Universiti Jose Rizal Filipina telah menganjurkan Seminar Kemampanan 2021 bertemakan 'Reshaping Tourism for Better Future' secara atas talian.

Objektif seminar berkenaan adalah untuk menyediakan wacana akademik mengenai isu kemampanan di rantau ini yang selaras dengan kebimbangan global.

Seminar tahun ini memberi fokus dalam membentuk semula industri pelancongan yang paling terjejas akibat wabak COVID-19.

Walaupun program vaksinasi adalah satu langkah positif, pemulihan industri pelancongan yang perlahan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya satu tahun lagi.

Destinasi seperti Kota Kinabalu dan Manila yang banyak bergantung pada pelancongan antarabangsa, pengembara perniagaan serta acara seperti sukan dan festival kini terjejas.

Banyak negara kini sedang merancang untuk membangunkan semula industri pelancongan yang berkeupayaan mencabar pandemik COVID-19.

Pada tahun ini, seminar dianjurkan itu disertai lebih 200 peserta dari lima buah negara seperti Malaysia, China, Jepun, Indonesia dan Filipina. Mereka mewakili 10 institusi pengajian tinggi   dan organisasi.

Selain itu, seminar berkenaan juga menampilkan seorang penceramah utama dan tujuh   penceramah jemputan bagi membincangkan hasil penyelidikan mereka.

Para penceramah juga telah mencadangkan bagaimana sektor pelancongan boleh berkembang  secara  lestari  berdasarkan   perspektif  negara masing-masing.

Menurut Profesor Madya Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul yang juga Ketua   Program Pengurusan Pelancongan dan Pengerusi Seminar, beliau menjelaskan krisis   kesihatan global akibat COVID-19 adalah satu peluang untuk membangunkan semula pelancongan di setiap destinasi.

"Contohnya 'overtourism' telah menjadi kebimbangan di kebanyakan destinasi sebelum COVID-19.

"Sekarang adalah masa untuk destinasi berkenaan dibentuk semula dan menyesuaikan dasar serta pengurusan pelancongan.

"Ia termasuk menggalakkan kepelbagaian ekonomi yang lebih besar, produk yang lebih inovatif termasuk merancangkan aktiviti di kawasan luar bandar," katanya.

Katanya, kini di seluruh dunia, orang ramai mula terpikat dengan pelancongan domestik dan ia sekali gus menawarkan manfaat kepada negara dengan lebih besar.

Seminar ini telah dirasmikan Presiden Institut Teknologi Nasional Kolej Fukushima Jepun Osamu Yamashita.

Dalam ucapannya, beliau berkata industri pelancongan memerlukan tindakan segera untuk memulakan proses pemulihan agar berjuta pekerja serta pengusaha dapat terlibat sama.

"Agak membimbangkan apabila negara membangun yang bergantung penuh kepada sektor pelancongan khususnya antarabangsa, terjejas teruk akibat pandemik ini," katanya.

Sementara itu, majlis perasmian penutupan seminar berkenaan disempurnakan oleh Dekan   Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, UMS Prof. Datuk Dr. Kasim Md Mansur.
 

  • oleh
  • Advertisement