Anda di sini

10 amaran dikeluarkan PBT kepada premis perniagaan

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Sebanyak 10 amaran telah dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada 3 Disember 2021.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, amaran dikeluarkan berikutan pemeriksaan yang dijalankan ke atas 1,044 premis perniagaan di negeri ini.

"Daripada jumlah amaran itu, tujuh dikeluarkan di Keningau dan tiga di Sipitang. Dalam pada itu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menjalankan pematuhan SOP ke atas 569 premis perniagaan dan 805 individu di 18 kawasan. 

"Tiga kompaun dikenakan ke atas individu dengan kesalahan individu gagal mendaftar masuk premis menggunakan aplikasi MySejahtera atau Buku  Pendaftaran.

"Bagaimanapun, tiada kompaun dikenakan ke atas premis," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Dalam pada itu katanya, Sabah merekodkan dua kes kematian baharu akibat COVID-19 pada hari yang sama.

Katanya, satu kes berlaku di Beaufort dan satu lagi kes di Pitas. Bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam.

"Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 454 menjadikan jumlah kumulatif 224,242 orang. Manakala 1,408 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 615 orang di hospital, 768 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 23 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara dan dua orang di fasiliti swasta.

"Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 65 orang merangkumi 62 di Unit Rawatan Rapi serta tiga di open ward," katanya.

Sementara itu katanya, 25 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan. Bilangan pesakit tahap empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 39 orang.
 

  • oleh
  • Advertisement