Anda di sini

Tiga lelaki bawa rokok seludup ditangkap

Advertisement
 Tiga suspek yang membawa rokok seludup berkenaan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut. (gambar kecil) Rokok yang berjaya dirampas
PADAH: Tiga suspek yang membawa rokok seludup berkenaan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut. (gambar kecil) Rokok yang berjaya dirampas.

KALABAKAN: Tiga lelaki termasuk seorang pendatang tanpa izin (PTI) ditahan selepas disyaki membawa rokok seludup di Road Check Point (RCP) jalan Kalabakan-Sepulut, di sini kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjalankan pemeriksaan di lokasi berkenaan mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Superitenden Polis Mohd Yacob Murad berkata pasukannya menahan kenderaan berkenaan untuk tujuan pemeriksaan.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga lelaki berumur 14 hingga 39 tahun di dalam kenderaan berkenaan.

“Dua lelaki tersebut adalah warga tempatan, manakala seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan medianya, di sini semalam.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut, berjaya menemukan dua buah beg berisi sebanyak 70 pak rokok dianggarkan bernilai RM9,184 dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

“Kesemua suspek dan barang rampasan termasuk kenderaan pacuan empat roda berkenaan yang dianggarkan bernilai RM144,184 itu ditahan untuk tindakan selanjutnya.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement