Anda di sini

Rundingan bincang CCA berjaya dimuktamadkan

Advertisement
 Hajiji ketika membentangkan Bajet 2022 Sabah hari ini.
BENTANG: Hajiji ketika membentangkan Bajet 2022 Sabah hari ini.

KOTA KINABALU:  Rundingan di antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan Petronas bagi membincang Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) telah berjaya dimuktamadkan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Menurutnya, persefahaman dan persetujuan telah dicapai di antara kedua belah pihak, sekali gus memastikan perjanjian CCA dapat ditandatangani dalam tempoh terdekat.

"Setelah sekian lama isu legasi berkaitan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) mendasari isu berkaitan minyak dan gas kita, Insya Allah, perjanjian ini akan membawa nilai dan makna yang lebih besar kepada Sabah. 

"Sabah akan mendapatkan perkongsian hasil yang lebih besar, penyertaan dan penguasaan yang lebih besar dalam hal berkaitan minyak dan gas," katanya berucap membentangkan Bajet Sabah 2022 di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan negeri dan Petronas telah membuat kajian bersama bagi menentukan nilai tambah industri gas yang boleh memberikan pulangan ekonomi jangka panjang untuk Sabah. 

Katanya, kerajaan negeri bersetuju untuk Petronas membina kemudahan gas asli cecair (LNG) yang berdasarkan konsep `nearshore' yang pertama di negeri ini iaitu di SOGIP. 

Di samping itu, katanya, Sabah juga akan mempunyai peruntukan gas untuk menyokong industri hiliran di negeri ini. 

Hajiji juga menyatakan rasa syukur kerana harga purata minyak sawit mentah dan minyak mentah petroleum adalah lebih tinggi berbanding kadar harga yang diramalkan semasa penyediaan Anggaran Hasil 2021. 

Ekoran itu, katanya, sasaran kutipan hasil tahun ini dijangka bertambah sebanyak 9.6 peratus atau RM430.67 juta menjadikan Anggaran Hasil Disemak Tahun 2021 telah meningkat berbanding anggaran asal hasil tahun 2021. 

"Ini bermakna, tahun 2021 bakal melakar sejarah baharu bagi Sabah dengan rekod anggaran hasil negeri tertinggi sejak merdeka dengan jumlah RM4.912 bilion.

"Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan hasil tahun 2021 ini adalah pembayaran Cukai Jualan Negeri (CJN) bagi produk minyak dan gas," katanya. 

Dalam pada itu, Hajiji juga percaya bahawa isu berhubung hak dan kepentingan negeri yang melingkari hubungan kerjasama di antara kerajaan negeri dan Persekutuan selama ini akan dapat ditangani melalui perundingan dan muafakat atas semangat Keluarga Malaysia.

Menurutnya, perjuangan itu adalah satu perjalanan panjang yang diwarisi daripada barisan pelopor pejuang terdahulu. 

"Sekalipun mengambil masa, kita harus memastikan setiap langkah yang teratur rapi akan membawa nilai dan makna kemajuan. 

"Jangan terbelenggu dengan retorika politik berpanjangan yang tidak membawa kita ke mana- mana. Jangan biarkan romantika sejarah semata-mata akhirnya membawa kita berundur jauh ke belakang. 

"Jangan sesekali lupa di kala kita menuding jari telunjuk mencari silap orang lain, hakikatnya empat jari yang lain menuding tepat ke arah sendiri," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan dan menghargai kebersamaan semua pihak termasuk barisan pembangkang dalam agenda perjuangan itu. 

"Hakikatnya, sebahagian besar daripada kita yang berada di Dewan yang mulia ini, termasuk yang di posisi pembangkang, pernah duduk sebagai Kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan, juga ada yang pernah menjadi Menteri dan Ketua Menteri. 

"Biar kita jujur dengan  setiap kata-kata. Biar kita ikhlas dalam setiap tindakan. Biar sejarah menilai dan rakyat menjadi penentu," katanya.

  • oleh
  • Advertisement