Anda di sini

RM4.596 bilion Bajet Sabah 2022

Advertisement
 Hajiji menunjukkan buku Bajet 2022 ketika dalam pembentangan berkenaan.
BAJET 2022: Hajiji menunjukkan buku teks ucapan Bajet 2022 ketika dalam pembentangan berkenaan.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hari ini membentangkan Bajet Sabah 2022 berjumlah RM4.596 bilion dengan anggaran kutipan hasil sebanyak RM4.707 bilion.

Katanya, ia bermakna Bajet 2022 Sabah adalah Bajet Lebihan berjumlah RM110.68 juta. Dengan tema 'Ekonomi Pulih, Rakyat Sejahtera' Bajet kedua yang dibentangkan Hajiji di bawah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ini ditunjangi tiga teras utama iaitu S, M, J meliputi S iaitu sektor utama yang memberi fokus pertumbuhan ekonomi melibatkan pertanian, perindustrian dan pelancongan.

Katanya, M meliputi modal insan dan kesejahteraan rakyat dan J Jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau. Sejak pelancaran SMJ, pelbagai inisiatif dibawah tiga teras itu telah dan sedang dilaksanakan untuk manfaat rakyat.

"Dalam Anggaran Hasil Tahun 2022, Hasil Cukai dijangka menyumbang 44.5 peratus iaitu RM2.094 bilion. Manakala, Hasil Bukan Cukai dijangka menyumbang sebanyak RM2.138 bilion atau 45.4 peratus.

"Sementara itu, kita dijangka menerima sebanyak RM475.02 juta atau 10.1 peratus melalui 
kategori Terimaan Bukan Hasil," katanya.

Beliau berkata, bagi tujuan membiayai operasi dan pengurusan kerajaan, sebanyak RM4.596 bilion dicadangkan untuk Anggaran Perbekalan Tahun 2022.

Katanya, jumlah berkenaan melibatkan kenaikan sebanyak RM293.52 juta atau 6.82 peratus berbanding dengan anggaran asal tahun 2021 sebanyak RM4.303 bilion. 

Jelasnya, jumlah itu diagih untuk tujuan pembayaran Emolumen, Perbelanjaan Berulang dan Perbelanjaan Khas.

"Sebanyak RM1.368 bilion dicadang diperuntukkan dalam Perbelanjaan Pembangunan bagi tahun 2022. Jumlah ini merangkumi peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM741.57 juta dan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM626.58 juta.

"Peruntukan kerajaan persekutuan ini termasuk Pembayaran Imbuh Balik Persekutuan berjumlah RM65.25 juta dan Pinjaman Persekutuan sebanyak RM561.33 juta," katanya.

Katanya, pada 2022 sebanyak RM919.18 juta akan diperuntukkan bagi pembangunan sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan.  

Menurutnya, jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak RM8.48 juta atau bersamaan 0.92 peratus berbanding peruntukan tahun 2021 iaitu sebanyak RM910.7 juta.

Selain itu, Hajiji berkata, sebanyak RM9.5 juta diperuntukkan kepada Lembaga Kebudayaan Sabah dan RM400 ribu kepada persatuan-persatuan kebudayaan bagi melaksanakan kegiatan kebudayaan, kesenian dan bahasa.

Untuk itu katanya, Satu Pelan Pembangunan Kebudayaan Negeri Sabah akan digubal untuk 
memartabatkan khazanah warisan berharga Sabah ini ke peringkat yang lebih tinggi.

"Selain itu, antara inisiatif yang dilaksanakan adalah Program Bantuan Sosial Sekolah seperti pakaian seragam, kasut dan alat tulis yang akan diteruskan melibatkan 289,204 murid 
dengan peruntukan sejumlah RM13.9 juta.

"Kerajaan negeri juga akan meneruskan dua bentuk bantuan khas pendidikan yang diperkenalkan tahun lalu iaitu Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) dan Bantuan Khas Tunai 
Peperiksaan (BAKTI) yang melibatkan peruntukan masing-masing sebanyak RM10 juta dan RM7.5 juta. 

"Tahun hadapan, satu inisiatif baharu akan dilaksanakan iaitu Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

"Melalui BISTARI, setiap anak Sabah yang dilahirkan bermula tahun 2022 akan ditawarkan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan bantuan sejumlah RM100 yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri," katanya.

Selain itu katanya, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan bantuan khas sebanyak setengah bulan gaji dengan kadar minima RM1,000 kepada seramai 20,271 orang penjawat awam negeri termasuk penjawat awam sementara, kontrak dan Pekerja Sambilan Harian (PSH) yang akan dibayar pada bulan Januari 2022.

Katanya, kerajaan negeri juga akan membiayai kerja-kerja awalan pembinaan perumahan mampu milik kepada penjawat awam negeri.

"Saya berharap agar insentif ini akan memberi suntikan semangat kepada para penjawat awam negeri untuk berusaha lebih gigih demi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement