Anda di sini

Pusat inovasi Bintangor pacu ekonomi digital setempat

Advertisement
Abang Johari melihat pelan pembangunan pusat inovasi yang bakal dibangunkan di Bintangor.
Abang Johari melihat pelan pembangunan pusat inovasi yang bakal dibangunkan di Bintangor.

BINTANGOR: Penubuhan pusat inovasi di Bintangor akan menjadi landasan utama bagi membangunkan masyarakat setempat ke arah ekonomi digital.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembinaan pusat ini nanti akan mempermudahkan lagi urusan yang berkaitan dengan ekonomi digital serta merancakkan lagi aktiviti khasnya, perniagaan dalam talian di kawasan ini.

"Ini adalah kelebihan pasukan kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mempunyai golongan pemimpin yang boleh melihat jauh ke hadapan terutama yang melibatkan pembangunan dan kemajuan bagi sesebuah kawasan.

"Kita yakin pusat ini nanti akan mampu menjadi salah satu daya tarikan utama di Bintangor dan secara tidak langsung akan memberi impak positif dari pelbagai aspek kepada komuniti di sini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Antara Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Bintangor (LAKMB), Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dan Kumpulan Syarikat Naim (NAIM) di Masjid Darul Taqwa, dekat sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, dalam pasukan GPS mempunyai pelbagai latar belakang dan kerjaya kepimpinannya.

Katanya, idea daripada golongan ini telah membantu kepimpinan GPS dalam berusaha secara terus bagi merancang dan mempergiatkan aktiviti pembangunan, memantapkan perihal kebajikan dan lain-lain perkara yang menjurus kepada manfaat bersama.

"Oleh sebab itu, kita ingin menegaskan sekali lagi bahawa hanya anak Sarawak sahaja yang faham dan mampu memimpin negeri ini, serta berusaha untuk memperjuangkan bagi melindungi hak Sarawak," tegasnya.

Dalam majlis sama juga, Abang Johari turut mengumumkan kelulusan beberapa projek pembangunan di kawasan ini seperti membina benteng hakisan bagi fasa pertama yang berjumlah RM17 juta, pembinaan tebingan dan menaik taraf kompleks sukan Bintangor.

Turut hadir sama Pengerusi LAKMB Datuk Hasmi Hassan, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Sosio Ekonomi) Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datu Zaidi Mahdi, Pengerusi Naim Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi serta tetamu kehormat lain.
 

  • oleh
  • Advertisement