Anda di sini

Projek Bekalan Air Samariang bernilai RM85 juta siap suku pertama 2022

Advertisement
Dr Abdul Rahman (kanan) memotong reben sebagai simbolik pelancaran bermulanya kerja-kerja pemasangan paip submarin di Sungai Samariang. Turut kelihatan Ir Chang (tiga kiri).
Dr Abdul Rahman (kanan) memotong reben sebagai simbolik pelancaran bermulanya kerja-kerja pemasangan paip submarin di Sungai Samariang. Turut kelihatan Ir Chang (tiga kiri).

KUCHING: Fasa satu Projek Bekalan Air Samariang Bahagian Kuching bernilai RM85 juta dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun 2022. 

Menteri Muda Bekalan Air Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata antara skop utama projek ini adalah pemasangan saluran paip submarin di Sungai Samariang.  

Katanya kerja-kerja pemasangan paip submarin berdiameter 900mm sepanjang kira-kira 400 meter ini bermula hari ini. 

“Kerja-kerja pemasangan paip submarin ini bukan mudah di mana kontraktor perlu memasang 40 pasang paip berkembar dengan berat hampir 5 tan. 

“Ia mengambil masa 20 hari untuk memasang paip submarin ini dan lepas pemasangan paip submarin ini siap, operasi permulaan bekalan air Samariang adalah pada hujung suku pertama tahun 2022 iaitu sekitar April atau Mei,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja ke tapak paip submarin bagi Projek Bekalan Air Samariang (Fasa 1) Bahagian Kuching di sini hari ini. 

Hadir sama Pengarah JBALB Ir Chang Kuet Shian. 

Tambah Dr Abdul Rahman, projek ini adalah satu projek diusahakan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) di bawah Kementerian Utiliti bagi memenuhi permintaan air bersih di seluruh negeri. 

Keseluruhannya terdapat enam projek paip submarin ini dengan lima lagi masing-masing di Tanjung Manis, Sungai Kabong, dua di Miri dan satu di Baram. 

Dalam pada selain pemasangan paip submarin antara komponen projek ini ialah pembinaan stesen pam penggalak berkapasiti 50 juta liter sehari dan pembinaan tiga buah tangki air aras tinggi dengan jumlah kapasiti 12 juta liter. 

Projek ini turut meliputi kerja-kerja pemasangan saluran paip sepanjang 13km dari persimpangan Jalan Matang-Batu Kawa melalui jalan baharu Pusat Pentadbiran Perseketuan (FAC) ke stesen pam penggalak baharu. 

Lagi skop kerja di bawah projek ini pemasangan saluran paip sepanjang 3km dari stesen pam penggalak baharu ke tangki aras tinggi. 

“Fasa dua akan dilanjutkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kerana keseluruhannya terdapat 200,000 isi rumah di kawasan Samariang, Petra Jaya sehingga ke Damai dengan 100 juta liter sehari air diperlukan menjelang tahun 2050,” katanya. 
 

  • oleh
  • Advertisement