Anda di sini

PRN Sarawak: Perhimpunan, perarakan tidak dibenarkan 

Advertisement
 

KUCHING: Polis Kontinjen Sarawak mengingatkan mana-mana parti untuk tidak mengadakan perarakan dan perhimpunan sepanjang proses penamaan calon pada 6 Disember ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata hanya tiga orang dibenarkan hadir di pusat penamaan calon iaitu calon itu sendiri, penyokong dan pencadang.

Justeru, mana-mana wakil atau penyokong parti yang bertanding tidak dibenarkan hadir ke pusat penamaan calon.

"Berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), perarakan mengiringi calon yang bertanding pada hari penamaan calon adalah tidak dibenarkan.

"Perhimpunan oleh mana-mana pihak di mana-mana lokasi sebelum, semasa dan selepas hari penamaan calon termasuk penyokong-penyokong parti politik juga tidak dibenarkan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tegasnya, sekiranya ada mengingkar SOP tersebut akan diambil tindakan serta merta.

"Justeru, semua calon dan parti yang bertanding diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan SOP yang dikuatkuasakan bagi memastikan proses penamaan calon dan pilihan raya dalam tempoh berkempen berjalan lancar," katanya.

Jelasnya, akta yang digunapakai ialah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Komunikasi Multimedia 1988, Kanun Keseksaan, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan akta-akta lain yang berkaitan dengan Pilihan Raya ini.

"Polis Sarawak tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati cuba menganggu gugat ketenteraman awam di negeri ini," katanya.

Aidi selain itu turut memberitahu seramai 5,522 pegawai dan anggota akan bertugas semasa hari penamaan calon dan sepanjang tempoh berkempen.

"Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak menubuhkan 47 pasukan Op Cantas yang akan ditetapkan di setiap daerah.

"Pasukan lain yang turut berada dalam kesiapsiagaan adalah Pasukan Ketenteraman Awam iaitu Light Strike Force (LSF), Public Order and Riot Unit (PORU), Pasukan Pemantauan Udara serta bantuan Unit Drone Pasukan Gerakan Udara Kontinjen Sarawak," katanya.

Aidi turut memohon orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mempunyai maklumat berkenaan sebarang pelanggaran undang-undang dan SOP.

Maklumat boleh disalurkan terus ke bilik gerakan khas Polis ditalian 082-240800.

  • oleh
  • Advertisement