Anda di sini

Polis buru kumpulan penjenayah pecah rumah, babitkan kerugian hampir RM1 juta

Advertisement
 Zaidi menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang peserta dialog.
PENGHARGAAN: Zaidi menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang peserta dialog.

KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu giat mengesan sekumpulan lima penjenayah yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan pecah rumah di sekitar ibu negeri sepanjang tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata setakat ini kumpulan berkenaan dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 11 kes pecah rumah dan peti besi dengan menyebabkan kerugian hampir RM1 juta.

“Berdasarkan siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diambil di sekitar lokasi kejadian, ahli kumpulan ini menaiki kenderaan dengan cermin berwarna gelap.

“Kumpulan ini juga dikesan menjalankan kegiatan jenayah dengan memakai pakaian ‘hoodie’ serta pelitup muka berwarna gelap sepanjang masa,” katanya.

Tambahnya Modus Operandi yang digunakan oleh kumpulan ini adalah dengan melakukan perancangan rapi sebelum melaksanakan jenayah pecah rumah di kawasan yang disasarkan.

Menurutnya mereka dipercayai mengenalpasti beberapa ciri tertentu termasuk keadaan rumah, laluan keluar masuk serta sistem keselamatan rumah termasuk CCTV di kawasan perumahan berkenaan.

“Kes terbaharu yang dilaporkan membabitkan mangsa yang juga pemilik rumah di sebuah kawasan perumahan di Lido di sini yang menyedari terdapat masalah pada sistem pengawasan CCTV di rumahnya semasa mangsa berada di luar kawasan.

“Mangsa kemudiannya mengarahkan pekerjanya di ibu negeri untuk memeriksa kediamannya sebelum mendapati rumahnya itu dipecah masuk berdasarkan keadaan rumah yang berselerak,” katanya.

Tambahnya mangsa kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil siasatan mendapati kumpulan penjenayah terbabit bertindak merosakkan sistem CCTV rumah mangsa sebelum melarikan barangan berharga.

“Antara kerugian yang dialami mangsa adalah kehilangan wang tunai termasuk matawang asing serta barangan berharga dan jam tangan jenama terkenal dengan kerugian keseluruhan mencecah RM500,000.

“Selain kes ini, kumpulan penjenayah ini juga dipercayai melakukan 11 lagi kes pecah rumah dan peti besi termasuk laporan menyatakan kehilangan sepucuk pistol,” katanya.

Beliau berkata kumpulan penjenayah berkenaan sudah dikenalpasti dan usaha memburu semua suspek giat dijalankan.

Mohd Zaidi berkata demikian pada sidang media selepas sesi Dialog Keselamatan PDRM bersama JPPM, Ketua Kampung, ARS dan KRT sekitar ibu negeri di IPD Kota Kinabalu di sini semalam.

  • oleh
  • Advertisement