Anda di sini

PKR fokus untuk menang 27 kerusi

Advertisement
Joshua (tengah) bersama Ng (kanan) dan Piee pada sidang media.
Joshua (tengah) bersama Ng (kanan) dan Piee pada sidang media.

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak akan bertanding di 27 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) ini.

Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak Joshua Jabeng yang mengumumkan perkara tersebut di ibu pejabat parti hari ini memaklumkan, daripada 27 calon itu, enam adalah wanita.

Menurutnya, wanita tersebut adalah Meneng Biris (N1 Opar), Nor Dahlia Esapian Eyau (N8 Satok), Chrishe Ng Phuay Hui (N11 Batu Lintang), Ani Amat (N66 Murum), Norhafizah Johari (N71 Bekenu) dan Zolhaidah Suboh (N72 Lambir).

Sementara itu bagi calon lelaki mereka terdiri daripada Ahmad Nazib Johari (N6 Tupong), Mahmud Epah (N15 Asajaya), Michael Sawing (N18 Serembu), Christo Michael (N20 Tarat), Senior William Rade (N21 Tebedu), Piee Bin Ling (N24 Sadong Jaya), Abg Abd Kasim Abg Bujang (N28 Lingga), Abg Zulkifli Abg Engkeh (N29 Beting Maro), Patrick Kamis (N35 Saribas), Mikail Matthew Abdullah (N37 Bukit Saban), Satu Anak Anchom (N49 Ngemah), M Fauzi @ Joseph Usit (N50 Machan), Mohd Arwin Abdullah (N57 Telian) dan Abd Jalil Bujang (N58 Balingian).

Joshua akan bertanding di N60 Kakus manakala calon lain termasuk Munan Laja (N62 Katibas), Elias Lipi (N76 Marudi), Philip Jau Ding (N77 Telang Usan), Roland Engan (N78 Mulu), Racha Balang (N80 Batu Danau) dan Martin Samuel Labo (N81 Ba’ Kelalan).

“Calon-calon ini dipilih selepas melalui proses pemilihan yang sangat ketat, digabungkan dengan tinjauan lapangan.

“Rasional di sebalik keputusan ini bukan untuk bertanding tetapi untuk menang. Kami fokus untuk menang dan sebab itu kami memilih kerusi yang kami yakin akan menang,” katanya kepada pemberita dalam sidang media.

Menurut Joshua, PKR tidak akan terlibat dalam pertembungan tiga penjuru dengan Pakatan Harapan (PH), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Amanah.

“Kami tidak akan meletakkan calon di mana ada parti DAP bertanding dan ini adalah prinsip asas Pakatan Harapan (PH).

“Kami juga tidak mempunyai perjanjian dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB). Bagaimanapun sekiranya pada saat-saat akhir mereka mahu bekerjasama untuk menang serta menjadi kerajaan baharu, apa salahnya,” tambah Joshua.

Dalam pada itu, Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya PKR Negeri Sarawak Dominique Ng Kim Ho berkata PKR pada mulanya mahu bertanding di 47 kerusi.

“Sebab pengurangan drastik dalam bilangan calon ialah kami mahu fokus kepada kerusi boleh menang dan tidak bertanding di mana-mana kerusi yang kami tidak mempunyai peluang untuk menang.

“Lebih-lebih lagi apabila terdapat banyak parti yang bertanding dan kami perlu realistik dalam jangkaan kami. Kami telah memutuskan untuk menjadi lebih pragmatik sebahagiannya kerana kami mempunyai sumber yang terhad,”katanya.

Menurutnya juga, pihaknya perlu kurang bertanding untuk dapat menumpukan lebih banyak kerusi yang lebih penting dan mempunyai peluang untuk menang.

Ng turut menambah, mungkin terdapat perubahan pada saat-saat akhir dan mungkin terdapat penambahan bagi calon-calon yang bertanding.
 

Advertisement