Anda di sini

Pengurus besar mengaku tidak bersalah terima suapan RM8,110

Advertisement
 Ahmad Rudi (kiri) keluar dari bilik mahkamah selepas prosiding dijalankan.
TERTUDUH: Ahmad Rudi (kiri) keluar dari bilik mahkamah selepas prosiding dijalankan.

TAWAU: Pengurus besar sebuah agensi kerajaan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM8,110, dua tahun lalu di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini.

Tertuduh, Ahmad Rudi Abd Rashid, 47, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat dan mohon dibicarakan.

Tertuduh adalah pegawai badan awam iaitu Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi Gred E29, yang bertugas sebagai Pengurus Besar di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Semporna.

Berdasarkan pertuduhan, Ahmad Rudi didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM8,110 di Pejabat PPK Semporna pada 26 Febuari 2019.

Tertuduh didakwa telah meluluskan Baucer Bayaran bernombor BB021900065 berjumlah RM8,110 kepada Syarikat Pemborong Putramas yang dimiliki Mohamad Sadeed Mohamad Said.

Baucer itu adalah bayaran Penyediaan Keperluan sempena Lawatan Mesyuarat LPP/MOA/JPA seramai 30 orang pada 28 hingga 31 Oktober 2018 sedangkan kerja-kerja itu dilakukan tertuduh sendiri.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan menawarkan jaminan berjumlah RM8,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan beberapa syarat tambahan iaitu diarahkan melaporkan diri di Pejabat SPRM sebulan sekali, menyerahkan passport antarabangsa Malaysia dan dilarang mendekati saksi.

Bagaimanapun, Ahmad Rudi memohon wang jaminan dikurangkan kerana mengalami masalah kesihatan diabetis, kolestrol dan saraf selain terpaksa menanggung empat anak serta isteri.

Hakim Abu Bakar Manat kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM8,000 (deposit RM4,000) dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

Hakim menetapkan 24 Febuari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula dan menasihatkan tertuduh melantik peguam.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Norsham Saharom dan tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement