Anda di sini

Pengendali gimnasium diminta guna saluran betul

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KUALA LUMPUR: Sekumpulan pemilik gimnasium yang melakukan protes di Menara KBS, Putrajaya baru-baru ini dinasihatkan supaya menggunakan saluran yang betul untuk menyatakan kehendak mereka.

Presiden Persatuan Sukan dan Kecergasan Kebangsaan (NaSFA) Datuk V Radhakrisnan berkata kumpulan berkenaan yang mewakili Persatuan Pengusaha Gimnasium Malaysia (PPGM) sepatutnya bekerjasama dengan NaSFA untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

“Persatuan kami bekerjasama rapat dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan mengutamakan fokus untuk menyatukan pemain industri supaya suara pemain industri sukan didengari,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, adalah lebih baik jika kumpulan berkenaan turut menjadi ahli gabungan NaSFA, yang sebelum ini dikenali sebagai Persatuan Pemilik & Pengusaha Tempat Sukan & Kecergasan Kebangsaan, supaya sebarang cadangan boleh dibawa kepada perhatian KBS melalui badan induk itu.

Radhakrisnan mengulas mengenai protes yang dilakukan oleh sekumpulan ahli PPGM yang mendakwa daripada 6,000 Geran Prihatin Sukan (GPIS) dijanjikan kerajaan pada Julai, hanya 10 peratus (600) lulus, manakala hanya 1,700 pengendali memohon berikutan syarat permohonan yang ketat. 

PPGM menuntut KBS membuka permohonan baharu dengan syarat lebih mudah untuk pemberian sekali bayar GPIS sebanyak RM3,000, serta membenarkan pengendali gimnasium yang ditolak permohonan, mengemukakan rayuan.

Mengulas lanjut, Radhakrisnan berkata bilangan yang dinyatakan oleh PPGM juga diragui dan menegaskan bahawa GPIS bukan khusus untuk pengendali gimnasium sahaja tapi untuk seluruh industri sukan termasuk pusat sukan, pengendali venue dan akademi.

“Kami difahamkan bahawa dana itu sedang diagihkan, KBS juga ada formaliti dan sedang cuba yang terbaik untuk menyalurkan dana terbabit. Tapi KBS juga perlu bertindak segera kerana pusat-pusat terlibat perlukan dana ini selepas berdepan penutupan, mereka masih mengalami kerugian susulan prosedur operasi standard (SOP) tidak membenarkan kapasiti 100 peratus.

“Kebimbangan saya adalah apa akan berlaku apabila moratorium tamat pada 31 Dis. Keadaan sebenar atau kemusnahan yang kita akan lihat dalam industri ini serta impak dapat dilihat pada Januari apabila pusat-pusat ini mula membayar kembali ansuran pinjaman, dan jika bank tidak melanjutkan moratorium, mereka tidak mempunyai dana mencukupi untuk membayar.

“Apa saja perniagaan yang dilakukan sekarang, adalah untuk menampung perbelanjaan operasi semasa, mereka tidak mempunyai dana mencukupi. Jadi, saya ingin meminta kepada kerajaan supaya merangka satu lagi pelan bagaimana untuk menyokong industri ini apabila moratorium tamat,” katanya.

Bercakap mengenai varian baharu COVID-19, Omicron, Radhakrisnan yang juga ahli Jawatankusa Panel Pakar KBS menggesa kerajaan bertindak pantas dan meningkatkan langkah keselamatan untuk mengelakkan penutupan dan industri sukan dapat kekal beroperasi. - BERNAMA
 

Advertisement