Anda di sini

Kombinasi pemimpin satu pasukan bawa perubahan di Meradong

Advertisement
Abdullah dan Ding turut bersama menyampai ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Bintangor , Tabung Baitulmal Sarawak  dan Kumpulan Syarikat Naim yang telah disempurnakan oleh Ketua Menteri.
Abdullah dan Ding bersama menyampai ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Bintangor , Tabung Baitulmal Sarawak  dan Kumpulan Syarikat Naim yang telah disempurnakan oleh Ketua Menteri.

BINTANGOR: Kombinasi kepimpinan dalam satu pasukan di bawah payung Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah banyak membawa perubahan dari aspek pembangunan kepada daerah Meradong jika dibandingkan daripada sebelum ini.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop Datuk Abdullah Saidol menegaskan kini daerah Meradong telah dilimpahi dengan pelbagai aktiviti pembangunan yang secara tidak langsung memberi impak yang positif kepada masyarakat di sini.

"Sebelum ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong semasa penggal Pilihan Raya Negeri ke-10 (PRN10), telah diwakili oleh wakil dari pihak pembangkang.

"Namun, pada PRN11,  kita telah bekerja keras dan syukur calon kita, Datuk Ding Kuong Hiing telah berjaya menawan kerusi ini.

"Bermula daripada titik perubahan tersebut, kepimpinan kita dari gabungan DUN Semop dan Meradong amnya, dengan gabungan peringkat Parlimen Tanjung Manis dari parti GPS telah bergabung dan bersatu hati untuk membawa sebeberapa banyak pembangunan kepada daerah ini, yang ternyata telah ketinggalan ketika diwakili oleh wakil rakyat daripada pihak pembangkang," kata Abdullah.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Antara Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Bintangor (LAKMB), Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dan Kumpulan Syarikat Naim (NAIM) di Masjid Darul Taqwa, dekat sini, hari ini.

Upacara perasmian majlis ini telah disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri, Abang Johari Tun Openg.

Menurut Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak)
itu, kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan GPS mempunyai pentadbiran yang terbaik dan ia telah terbukti membawa pelbagai pembangunan dan mampu mengharungi pelbagai situasi ketika negara mengalami kemelut politik.

"Jika kita melihat di posisi lain, kita melihat pihak pembangkang hanya bijak memainkan isu politik, tetapi kita di peringkat kepimpinan GPS hanya memberikan tumpuan kepada pembangunan dan keperluan rakyatnya, bukan bermain dengan isu politik," tegas Abdullah.

Sementera itu, penyandang kerusi DUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing yang turut berucap pada majlis sama menyampaikan ucapan penghargaan kepada kerajaan GPS dan kepimpinan Ketua Menteri yang sentiasa mengambil berat terhadap keperluan dan pembangunan rakyat di negeri ini.

"Jika kita melihat di daerah Meradong ini sahaja, pelbagai pembangunan telah dibawa dan dilaksanakan.

"Perkembangan ini telah memberi impak kepada masyarakat di sini yang telah lama mengharapkan pembangunan seperti lain-lain kawasan.

"Itulah nikmat jika pentadbiran negeri amnya, pada landasan yang tepat dan mempunyai sikap perihati kepada rakyatnya tanpa  mengira bangsa dan agama," jelas Ding.
 

  • oleh
  • Advertisement