Anda di sini

Kerajaan negeri laksana penguatkuasaan penerokaan haram Hutan Simpan sebelum 1 Jun

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-79 bersetuju dengan tindakan penguatkuasaan dan penyelesaian terhadap penerokaan haram Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar). 

Beliau berkata mesyuarat MTN semalam yang dipengerusikannya secara persidangan video itu juga bersetuju supaya semua kerajaan negeri melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan penyelesaian terhadap penerokaan haram itu selewat-lewatnya pada 1 Jun 2022.

Selain itu, perdana menteri berkata mesyuarat itu juga bersetuju secara prinsip dengan pelaksanaan Moratorium Kelulusan Baharu Penubuhan Ladang Hutan dalam HSK di Semenanjung Malaysia selama 15 tahun dan memaklumkan terdapat 127,050.25 hektar Zon Pembangunan Ladang Hutan dalam HSK yang belum diluluskan kepada mana-mana syarikat.

"Sebelum moratorium dikenakan ke atas kawasan tersebut, Kerajaan Negeri yang ingin meneruskan pembangunan ladang hutan perlu melaksanakan perundingan secara terperinci dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

"Ini bagi memastikan syarikat-syarikat yang akan dilantik mematuhi apa-apa syarat yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi serta lain-lain perundangan yang berkuat kuasa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Menurut Ismail Sabri, mesyuarat semalam juga bersetuju supaya Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2020 bagi Seksyen 11 dan 12 yang diluluskan Jabatan Peguam Negara pada 3 Disember 2020 dan Jemaah Menteri pada 6 Januari lepas dibentangkan di Parlimen pada sesi pertama tahun depan.

Beliau menjelaskan dalam konteks itu, RUU tersebut hanya terpakai di negeri-negeri setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) meminda Enakmen Perhutanan (Pemakaian) masing-masing.

Pada masa sama, perdana menteri berkata MTN itu juga mengesahkan keputusan-keputusan Mesyuarat Majlis Mineral Pertama yang dipengerusikan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 16 Febuari lepas. 

"Keputusan-keputusan dalam mesyuarat itu perlu dibawa untuk persetujuan dan pengesahan MTN bagi membolehkan ia dipersetujui dan disahkan khususnya yang melibatkan aspek perundangan seperti Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara serta enakmen berkaitan di peringkat negeri," katanya.

Mengenai mesyuarat semalam, Ismail Sabri berkata MTN dianggotai 10 wakil Kerajaan Persekutuan terdiri daripada Menteri-Menteri Kanan serta menteri-menteri Kerajaan Persekutuan yang berkaitan bersama Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri atau wakil.

Beliau berkata ia diadakan selaras dengan Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan iaitu membentuk dari semasa ke semasa, melalui rundingan dengan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-kerajaan Negeri dan Majlis Kewangan Negara, suatu dasar negara untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah di seluruh Persekutuan bagi maksud perlombongan, pertanian, perhutanan atau apa-apa maksud lain dan untuk mentadbirkan apa-apa undang-undang mengenainya. - BERNAMA
 

Advertisement