Anda di sini

Kemalangan tiga buah lori, warga emas maut

Advertisement
 Lori mangsa remuk di bahagian depan akibat bertembung dengan lori kargo.
REMUK: Lori mangsa remuk di bahagian depan akibat bertembung dengan lori kargo.

TAWAU: Seorang lelaki warga emas maut selepas lori yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di jalan Sungai Burong, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, mangsa Wong Soong Fatt @ Wong, 63, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata kemalangan tersebut melibatkan tiga buah lori.

“Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan menuju ke Semporna, manakala dua lagi lori jenis kargo dan tanker berkenaan menuju ke Tawau.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori mangsa tiba-tiba memasuki laluan bertentangan dan melanggar bahagian kanan lori tanker sebelum bertembung dengan lori kargo,” katanya dalam kenyataan medianya, di sini tadi.

Katanya, impak kemalangan itu, mangsa tersepit di dalam lori yang dipandunya dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Bagaimanapan, pemandu lori tanker dan kargo berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil siasatan, insiden itu berpunca daripada kecuaian mangsa sehingga hilang kawalan dan menyebabkan kemalangan berlaku,”katanya.

Peter berkata, polis tidak menolak mangsa dalam keadaan mabuk semasa memandu berdasarkan terdapat minuman keras di dalam lori berkenaan.

“Namun, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement