Anda di sini

Jau Jok calon PSB di Telang Usan

Advertisement
 

MIRI: Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) bagi Telang Usan pada 18 Disember ini menyaksikan ‘pertembungan keluarga’ antara penyandang kerusi itu, Dennis Ngau dengan Jau Jok@ Jenggo (gambar) dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Jau, 63 adalah suami kepada sepupu Dennis dan tinggal selang dua pintu dari rumah Dennis di Long Bedian.

“Saya menerima pencalonan daripada parti pada Khamis untuk bertanding di Telang Usan. Ini bermakna saya akan menentang Dennis, ahli keluarga saya sendiri,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jau merupakan pesara akademik dan pernah bertugas sebagai guru, guru besar, pengetua dan penolong pegawai pendidikan di Jabatan Pendidikan Baram sebelum bersara pada 2018.

“Sepanjang perkhidmatan 37 tahun itu, saya sudah biasa bertemu dengan warga Baram dan bagi mereka saya bukanlah orang asing,” katanya yang mulai bergiat aktif dalam politik sejak 2019.

Menurut Jau, beliau tidak gentar menentang Dennis yang mempunyai pengalaman dua penggal sebagai wakil rakyat di Telang Usan.

Beliau berikrar untuk melaksanakan infrastruktur termasuk jalan raya, elektrik dan bekalan air dalam tempoh lima tahun di Telang Usan sekiranya terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri.

“Pembangunan di Baram begitu perlahan dibawah GPS dan sebelum ini Barisan Nasional yang berkuasa dalam tempoh 58 tahun.”

“Sedangkan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) mengambil masa kurang lima tahun untuk membina jalan berturap merentasi Kalimantan sehingga Long Bawan berhampiran Ba kelalan di sempadan Sarawak.”

Menurut Jau, kelewatan ini menimbulkan tanda tanya memandangkan permukaan geografi antara Baram dan kejiranan Kalimantan hampir serupa.

“Sekiranya Jokowi dapat membina jalan kurang dari lima tahun, mengapa kerajaan Sarawak tidak dapat menyiapkan jalan di sini walaupun sudah diberikan kuasa selama 58 tahun?”, katanya.

Beliau turut berjanji akan memegang amanah dengan penuh integriti, bertanggungjawab dan mengekalkan personaliti yang cemerlang sekiranya diberi kepercayaan dan mandat dalam PRN12 kelak.

Telang Usan bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru antara GPS, PSB, Parti Keadilan Rakyat, Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB).

  • oleh
  • Advertisement