Anda di sini

Ibrahim Baki jadi taruhan GPS di Satok 

Advertisement
 

KUCHING: Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Satok, Datuk Ibrahim Baki (gambar) diangkat menjadi calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok.

Ibrahim bakal mempertahankan kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) yang sebelum ini disandang oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Presiden PBB.  

Beliau ketika ditemui menzahirkan ucapan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti kerana memberi peluang meneruskan perjuangan di DUN tersebut. 

Menurutnya, pembangunan di kawasan DUN Satok bakal diteruskan sekali gus mengangkat imej kawasan itu sebagai bandar raya yang ada karakter. 

"Bagaimanapun, usaha pembangunan dan perancangan itu akan dirujuk kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok merangkap Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

"Usaha yang dibangunkan itu perlu mempunyai karakter yang mampu menjadi tarikan khas kawasan tersebut," katanya semasa ditemui media sebelum Majlis Penyerahan Watikah kepada Calon Gabubgan Parti Sarawak (GPS), di Ibu Pejabat Parti PBB, hari ini. 

Majlis berkenaan disempurakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Ibrahim berkata, usaha yang dibangunkan ADUN sebelum ini (Abang Johari) cukup baik. 

"Apa yang diusahakan beliau (Abang Johari) dapat menyatupadukan pelbagai kaum, agama dan bangsa. 

"Jika kita lihat, perkara sedemikian tiada masalah di Satok, tiada pertengkaran malah kita dapat lihat Melayu, Iban, Cina dapat duduk semeja," ujar beliau. 

Sehubungan katanya, beliau akan menyambung usaha yang telah dilakukan oleh ADUN sebelum ini. 

"Antara usaha lain diteruskan ialah masalah perumahan yang dihadapi penduduk kerana Satok mempunyai kepadatan penduduk. Jadi kita perlu lakukan sesuatu untuk menyediakan bangunan yang selesa terutamanya golongan B40 dan M40. 

"Selain itu, pendidikan juga akan diberi penekanan supaya kehidpan masyarakat membangun menerusi ilmu yang dipelajari selain menyediakan peluang pekerjaan selepas mereka menamatkan pengajian. 

Ditanya mengenai cabaran di kerusi DUN Satok, beliau menyatakan bahawa cabaran menggantikan tempat itu daripada ketua menteri sangat besar. 

"Namun, menerusi pengalaman yang ada selama 36 tahun bersama beliau (Abang Johari), saya akan teruskan berdasarkan tunjuk ajarnya," jelas Ibrahim.
 

  • oleh
  • Advertisement