Anda di sini

GPS kekal 58 penyandang, 24 muka baharu 

Advertisement
Abang Johari bercakap pada sidang media selepas penyerahan watikah perlantikan calon GPS di Ibu Pejabat PBB. -Gambar Chimon Upon
Abang Johari bercakap pada sidang media selepas penyerahan watikah perlantikan calon GPS di Ibu Pejabat PBB. -Gambar Chimon Upon

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengekalkan 58 penyandang dan memperkenalkan 24 muka baharu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12). 

Watikah pelantikan calon yang bertanding diserah oleh Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kepada 82 calon di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini hari ini. 

Abang Johari yang juga Ketua Menteri dan presiden PBB dalam pada itu dijangka tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok dan bertanding di kerusi DUN Gedong. 

"Saya percaya barisan calon adalah terdiri daripada  mereka yang berpengalaman dan mereka yang boleh melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing. 

"Kita juga perkenal beberapa muka baharu berumur antara 30 tahun hingga 40 tahun kerana kita percaya mereka ini akan sama-sama dilatih dan seterusnya didedahkan dengan politik ala Sarawak," katanya pada sidang media. 

Tambah Abang Johari, landskap politik Sarawak hanya orang Sarawak tahu sebab itu tema GPS adalah 'Sarawak First' yang berlandaskan landskap ekonomi yang menekankan digital ekonomi serta memberi tekanan kepada kelestarian alam sekitar. 

Pendedahan orang muda katanya sudah tentu mereka ada cara sendiri dan sebab itu daripada senarai muka baharu ada berumur 30 tahun termasuk wanita. 

Mengenai manifesto PRN12, ia katanya akan diumumkan pada 8 Disember ini dan semua calon GPS katanya akan bertanding sebagai Pasukan GPS menggunakan satu tiket sahaja iaitu GPS. 

Bagi calon wanita pula katanya, jumlah calon seramai empat orang dengan satu muka baharu iaitu Dayang Noorazah Awang Sohor di kerusi DUN Lingga. 

Manakala kerusi DUN Baleh yang dikosongkan susulan kematian penyandangnya Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan ditandingi muka baharu Nicholas Kudi Jantai Masing.

Dalam pada itu Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Dato Sri Tiong King Sing juga disenaraikan sebagai muka baharu bagi kerusi DUN Dudong. 

Bagaimanapun senarai penuh 82 calon belum diedarkan kepada media.
 

  • oleh
  • Advertisement