Anda di sini

Bonnie sekali lagi muncul juara dunia

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

KUCHING: Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin sekali lagi muncul juara dunia pada Kejuaraan Powerlifting Para Dunia 2021 di Tbilisi, Georgia, semalam (2 Disember).

Bonnie mengetuai cabaran Malaysia pada Kejuaraan Powerlifting Para Dunia 2021 di Tbilisi, Georgia, bermula 27 November hingga 5 Disember.

Kejayaan oleh atlet Sarawak itu turut mendapat perhatian Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah yang menyifatkan ia adalah komitmen Bonnie untuk menjadi seorang juara yang hebat.

Beliau yang turut mengucapkan tahniah kepada kejayaan Bonnie itu turut berkata, ia juga hasil daripada latihan terbaik daripada jurulatihnya yang cemerlang, iaitu Jamil Adam.

"Kita mengucapkan tahniah kepada Bonnie (atas kejayaan ini) dan ramalan kita tepat. Beliau berlatih dengan baik dibawa jurulatih cemerlang, Jamil.

"Jurulatih Para Kebangsaan, Jamil merupakan anak Sarawak yang diberi penghormatan dan kepercayaan melatihan pasukan di Kuching dan bukan di Kuala Lumpur pada kali ini," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Fatimah berkata, dengan latihan yang diadakan di Kuching sendiri, ia menjadi satu bonus kepada Bonnie kerana dekat dengan ibu bapanya.

Selain itu beliau berkata, kejayaan Bonnie sudah pastinya disumbangkan oleh semangat berpasukan, tahap keyakinan dan semangat yang tinggi.

"Sokongan daripada kerajaan negeri (melalui insentif baru-baru ini yang diterima daripada Ketua Menteri).

"Selain itu, kebajikan dan kesejahteraan emosi sentiasa dipantau oleh pegawai Pembangunan OKU kementerian kami," katanya.

Sementara itu Bonnie, atlet kelahiran Sarawak mengharumkan nama negara selepas melakukan angkatan seberat 210 kilogram (kg) sekaligus menewaskan wakil China, Hu Peng yang meraih perak pada 2 Disember.

Atlet Mesir, Ibrahim Shaaban pula membawa pulang pingat gangsa.

Sebelum ini, pada temasya Paralimpik Tokyo, Bonnie Bunyau meraih pingat emas pertama negara dalam acara 72 kilogram (kg) powerlifting selepas melakukan angkatan seberat 228kg yang merupakan rekod baharu temasya itu.
 

  • oleh
  • Advertisement