Anda di sini

30 individu disyaki penagih dadah diberkas

Advertisement
Suspek-suspek yang ditangkap dalam operasi tersebut.
Suspek-suspek yang ditangkap dalam operasi tersebut.

KUCHING: Seramai 30 individu diberkas polis kerana disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah dalam beberapa siri serbuan di sekitar Kuching sejak 24 November hingga 2 Disember.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kesemua suspek berusia lingkungan 19 hingga 53 tahun ditangkap dalam operasi khas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Menurutnya, operasi sepanjang 24 hingga 30 November dilakukan di Kampung Siol Kandis, Kampung Tabuan Dayak, Kampung Tabuan Haji Drahman, Kampung Astana Lot, Kampung Sungai Bedil Besar dan Kampung Tanjung Petra Jaya.

"Seramai 22 suspek ditangkap, termasuk seorang wanita dan pecahan daripada jumlah tangkapan tersebut merangkumi 10 kes di bawah Seksyen 12(2) serta enam kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Pasukan operasi juga berjaya merampas dadah jenis syabu seberat sekitar 6.84 gram," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, sembilan daripada suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Manakala pada 2 Disember, pasukan serbuan telah melakukan tangkapan enam lelaki dan dua wanita di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 bertempat di sebuah rumah di Jalan Tun Abang Haji Openg.

"Dalam serbuan tersebut, sebanyak kira-kira 10.20 gram dadah jenis syabu dan empat biji pil erimin 5 dirampas," katanya.

Dedahnya, empat daripada suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

"Polis daerah Kuching mengalu-alukan maklumat orang awam berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah," ujar Ahsmon.
 

  • oleh
  • Advertisement