Anda di sini

Tiga maut, lapan cedera ditembak di sekolah AS 

Advertisement
Ambulans berhenti di sekatan polis yang menghalang laluan ke Sekolah Tinggi Oxford di Oxford, Michigan selepas kejadian tembakan menyebabkan tiga orang maut dan lapan lagi cedera kelmarin. — Gambar AFP
Ambulans berhenti di sekatan polis yang menghalang laluan ke Sekolah Tinggi Oxford di Oxford, Michigan selepas kejadian tembakan menyebabkan tiga orang maut dan lapan lagi cedera kelmarin. — Gambar AFP

OXFORD: Seorang pelajar berusia 15 tahun melepaskan tembakan di sekolah tinggi di Michigan kelmarin, membunuh tiga remaja dan mencederakan lapan yang lain sebelum menyerah diri kepada polis, menurut pihak berkuasa, dalam apa yang merupakan kejadian tembakan terburuk di sekolah Amerika Syarikat (AS) tahun ini.

Lapan orang lagi, termasuk seorang guru, tercedera dalam serangan, yang berlaku sejurus selepas tengah hari ketika kelas-kelas sedang dalam sesi di Sekolah Tinggi Oxford, kata Pejabat Syerif Daerah Oakland.

Pejabat syerif menyatakan, mangsa yang meninggal dunia adalah seorang lelaki berusia 16 tahun, seorang perempuan berusia 14 tahun dan seorang perempuan berusia 17 tahun.

Di kalangan yang tercedera, enam orang berada dalam keadaan stabil dan dua lagi menjalani pembedahan.

Suspek telah ditahan serta sepucuk pistol separa automatik dirampas, namun tiada penjelasan lanjut me-ngenai motif serangan di Oxford, sebuah pekan kecil kira-kira 40 batu di utara Detroit.

“Tiada kekasaran berlaku ketika penahanan dan suspek telah meminta bagi seorang peguam serta tidak membuat sebarang kenyataan yang menunjukkan sebarang motif,” menurut pejabat syerif. Ia merupakan satu situasi yang sangat tragik,” Timbalan Syerif Michael McCabe memberitahu wartawan.

“Kami mempunyai tiga kematian buat masa ini, yang dipercayai adalah pelajar,” jelas beliau.

“Kami mempunyai ramai ibu bapa yang sedang bimbang,” tambahnya.

McCabe berkata, polis menerima lebih 100 panggilan kecemasan 911 sejurus selepas waktu tengah hari, dan diberitahu bahawa penembak telah melepaskan kira-kira 15 hingga 20 das tembakan selama kira-kira lima minit.

Suspek telah ditangkap dalam masa lima minit dari panggilan pertama 911, kata beliau.

Presiden Joe Biden dimaklumkan mengenai kejadian tembakan itu ketika beliau mengadakan lawatan ke Minnesota.

“Hati saya bersama dengan keluarga yang berdepan dengan kesedihan yang tidak dapat dibayangkan akibat kehilangan orang tersayang,” ujar beliau.

“Seluruh komuniti berada dalam keadaan terkejut sekarang.”

McCabe berkata, pihak polis telah berhubung dengan ibu bapa suspek serta menggeledah kediaman mereka.

Suspek memasuki kelas kelmarin dan kelihatan telah melakukan serangan itu sendirian.

Ia masih belum jelas sekiranya mangsa telah disasarkan secara khusus atau ditembak secara rambang, jelas McCabe.

“Dia enggan untuk bercakap dengan kami buat masa sekarang,” beliau memberitahu wartawan.

McCabe berkata, polis telah memeriksa tempat kejadian di sekolah, yang mempunyai kira-kira 1,800 pelajar, dan akan menyoal siasat sesiapa yang mungkin memiliki maklumat mengenai suspek.

“Saya rasa ini adalah satu mimpi ngeri bagi semua ibu bapa,” kata Gabenor Michigan Gretchen Whitmer dalam taklimat media yang sama.

Ia merupakan kejadian tembakan terburuk di sekolah pada tahun ini sahaja, menurut Everytown For Gun Safety, sebuah kumpulan yang menyimpan statistik kejadian tembakan beramai-ramai dan melobi untuk kawalan ke atas senjata api.

Sebelum insiden kelmarin, terdapat 138 kejadian tembakan di sekolah-sekolah di sekitar AS pada 2021, menurut jumlah yang diberikan oleh Everytown. 

Dalam insiden tersebut, 26 mengakibatkan kematian, walaupun tidak lebih daripada dua pada setiap kali.

Ditanya mengenai corak kejadian tembakan beramai-ramai di negara ini, Whitmer menjawab: “Ini adalah satu masalah Amerika yang sangat unik yang perlu kita tangani.”

Kejadian tembakan terburuk di sekolah dalam sejarah AS adalah serangan pada April 2007 di Virginia Tech di Blacksburg, Virginia, yang melihat 33 orang terkorban, termasuk penembak, diikuti dengan serangan Disember 2012 ke atas sekolah rendah Sandy Hook di Newtown, Connecticut, yang menyebabkan 28 kematian, termasuk 20 kanak-kanak dan penembaknya.

Pada Februari 2018, seorang lelaki yang mempunyai selaras raifal serangan AR-15 melepaskan tembakan di bekas sekolah tingginya di Parkland, Florida, membunuh 17 orang, dalam kejadian tembakan paling teruk di sekolah tinggi.

Shannon Watts, pengasas kumpulan Moms Demand Action, menuntut lebih ba-nyak tindakan untuk mengawal senjata api, menyatakan terdapat 400 juta senjata yang dimiliki oleh orang awam di seluruh negara.

“Sekiranya lebih banyak senjata membuatkan kita lebih selamat, kita akan menjadi negara paling selamat di dunia,” tulis beliau di Twitter. — AFP

Advertisement