Anda di sini

PRN Sarawak: Ketua Menteri umum Abdullah dicalonkan semula di Semop

Advertisement
Abang Johari bersama Abdullah, Len dan Yusuf pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Pulau Bruit di Kampung Tekajong pada Khamis.
Abang Johari bersama Abdullah, Len dan Yusuf pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Pulau Bruit di Kampung Tekajong pada Khamis.

PULAU BRUIT, DARO: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop Datuk Abdullah Saidol dicalonkan semula mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mempertahankan kerusi yang dimenanginya selama dua penggal sejak 2011.

Pencalonan semula bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) itu diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Pulau Bruit di Kampung Tekajong pada Khamis.

Menurutnya, penyandang bagi kerusi DUN Kuala Rajang Datu Len Talif Salleh, DUN Daro Safiee Ahmad dan DUN Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii juga akan dikekalkan.

Dengan adanya wakil-wakil rakyat daripada GPS, pembangunan di kawasan delta Rajang akan diteruskan agar rakyat dapat mengecapi kemakmuran yang dirancang kerajaan negeri naungan GPS.

"Pembangunan di kawasan ini akan terus dilaksanakan dari aspek pertanian, perikanan kerana niat kita (GPS) akan untuk menambahkan pendapatan rakyat," katanya berucap pada majlis yang turut dihadiri Abdullah, Len, Safiee, Huang dan Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abd Wahab.

Abang Johari berkata lagi, kerajaan negeri mempunyai hala tuju yang jelas dalam memastikan Sarawak menjadi negeri maju pada 2030.

"GPS memberi keutamaan kepada rakyat Sarawak," katanya.

Dalam pada itu, beliau meluluskan dana RM48 juta untuk DUN Semop. Ia adalah untuk menaiktaraf empat jambatan menjadi dua hala di jalan Penuai ke Tekajong dengan kos RM20 juta, manakala RM22 juta diperuntukkan untuk membina benteng pertanian di Kampung Bruit dan Tekajong melibatkan kira-kira 300 petani. Bagi tujuan pembinaan masjid, beliau menyediakan dana RM6 juta.

"Ini bukan kerana hendak pilihan raya tetapi memang sudah ada dalam perancangan," jelasnya.

Sementara itu, apabila dua jambatan menghubungkan Pulau Bruit dengan tanah besar kelak, beliau yakin taraf sosioekonomi penduduk akan bertambah lebih baik.

Sedang dalam pembinaan sekarang ialah Jambatan Muara Lassa dan Jambatan Batang Paloh yang menggunakan kos kira-kira RM1bilion - membuktikan komitmen GPS dalam membangunkan kawasan luar bandar.

"Dana yang digunakan bagi tujuan pelaksanaan pembangunan ini adalah datang dari cukai jualan petroleum yang dikenakan kita (kerajaan negeri) dan ia dikembalikan kepada rakyat dengan program-program pembangunan," ujarnya.

Pada majlis itu, seramai 790 nelayan menerima Bantuan Musim Tengkujuh berjumlah RM1.18 juta. Turut disampaikan ialah dividen berjumlah kira-kira RM2.2 juta kepada 117 peserta Ladang Sejahtera Pulau Bruit Fasa 1 dari Kampung Saai dan Kut.

Majlis itu turut menyaksikan penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

Seramai 704 individu menerima Surat Hakmilik Tanah Kampung Tradisional Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri - dari Kampung Betanak, Penibong, Penipah dan Salah Kecil.

Bagi Surat Hakmilik Tanah (Pertanian) Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (Peringkat Kedua Inisiatif Baharu NCR), 222 individu dari Kampung Semop menerimanya.

Warta Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri pula diberikan untuk Kampung Tekajong dan Batang Paloh.

  • oleh
  • Advertisement