Anda di sini

PRN Sarawak: Abdullah berazam terus membangunkan DUN Semop

Advertisement
Abang Johari menerima cenderahati berupa replika peta Pulau Bruit daripada ketua-ketua masyarakat di Pulau Bruit pada Majis Pemimpin Bersama Masyarakat di Kampung Tekajong, di sini pada Khamis. Turut kelihatan, Abdullah dan Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abd Wahab.
Abang Johari menerima cenderahati berupa replika peta Pulau Bruit daripada ketua-ketua masyarakat di Pulau Bruit pada Majis Pemimpin Bersama Masyarakat di Kampung Tekajong, di sini pada Khamis. Turut kelihatan, Abdullah dan Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abd Wahab.

PULAU BRUIT, DARO: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop Datuk Abdullah Saidol berazam meneruskan program-program pembangunan di kawasan tersebut jika diberi mandat semula oleh pengundi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).

Menurutnya, sepanjang berkhidmat dua penggal sejak 2011, banyak program pembangunan yang telah dibawanya bagi memastikan jurang pembangunan antara desa dan luar bandar dapat dirapatkan.

"Pada penggal pertama (2011-2016) saya mendapati perlu bekerja keras kerana infrastruktur asas di beberapa penempatan dalam DUN Semop sangat ketinggalan berbanding dengan kampung-kampung dan rumah panjang lain.

"Begitu juga keadaan frasarana seperti dewan masyarakat dan rumah ibadah. Sebab itu tumpuan saya pada masa itu ialah banyak ke arah membaikpulih dan berjaya membina tujuh dewan masyarakat baharu.

"Sejak diperkenalkan enam tahun dahulu, hampir 70 peratus peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) saya digunakan sepenuhnya menaiktaraf jalan dalam kampung-kampung yang sempit dan rosak. 

"Di kawasan penempatan masyarakat Iban pula kebanyakan tinggal di pesisir sungai, tumpuan utama peruntukan RTP ialah membina baharu jeti-jeti mereka," katanya berucap pada Majis Pemimpin Bersama Masyarakat yang dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Kampung Tekajong, di sini pada Khamis.

Menurutnya, ketika itu banyak kampung serta rumah panjang masih lagi menggunakan titian kayu sebagai jalan perhubungan dalam kampung. Banyak peruntukan dipohon beliau adalah untuk menaiktaraf jalan titian kayu untuk ditambak dan membina jalan simen dan ada yang diturap.

Usaha membangunkan luar bandar menurutnya ternyata amat membantu dengan adanya RTP yang mula diperkenalkan bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan) pada 2014.

RTP yang diakuinya mampu mempercepatkan pelaksanaan sesuatu projek kecil dan sederhana, kini diteruskan oleh Abang Johari yang amat komited terhadap pembangunan luar bandar.

Berkongsi cerita mengenai projek pembinaan jambatan Muara Lassa dan Batang Paloh, beliau berkata beliau bersama wakil-wakil rakyat dari kawasan pesisir mengemukakan permohonan kepada arwah Tok Nan pada 2015 di Dewan Undangan Negeri Sarawak.

"Selepas Datuk Patinggi (Abang Johari) menggantikan Tok Nan, beliau segera meluluskan projek-projek ini...dua jambatan yang menghubungkan Pulau Bruit ke tanah besar yang bernilai hampir RM1 bilion," katanya.

Mengenai jalan ladang yang menghubungkan kampung-kampung di utara Pulau Bruit, beliau menjelaskan ia akan diturap.

Dalam masa sama, beliau mengajak masyarakat agar memastikan DUN Semop kekal milik Gabungan Parti Sarawak (GPS) demi meneruskan agenda pembangunan di bawah kepimpinan Abang Johari.

"Kita mahu pemimpin yang ada jiwa dengan luar bandar seperti Datuk Patinggi Abang Johari," katanya.

Menurutnya lagi, Abang Johari merangka belanjawan negeri Sarawak dengan memberi tumpuan besar ke arah pembangunan luar bandar yang banyak membantu merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan desa.

"Saya akui bukan mudah untuk menaiktaraf DUN Semop yang seluas 1,242 kilometer persegi lebih besar dari Perlis (819 kilometer persegi).

"Tapi cabaran ini menyeronokkan apabila dapat melihat kemudahan awam yang kita usahakan semakin nampak dan memberi keselesaan kepada masyarakat yang yakin dengan keupayaan saya untuk berkhidmat," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement