Anda di sini

Malaysia Airlines sambung semula penerbangan terus dari Pulau Pinang ke Kota Kinabalu, Kuching

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines akan menyambung semula penerbangan terus dari Pulau Pinang ke Kuching dan Kota Kinabalu pada Disember 2021 hingga Mac 2022 disebabkan permintaan untuk penerbangan domestik mula menunjukkan trend positif berikutan larangan rentas negeri yang kini dilonggarkan dan cuti akhir tahun yang akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group Kapten Izham Ismail berkata laluan itu akan turut digunakan oleh subsidiarinya, Firefly mulai April 2022 dan seterusnya, menyambung semula operasi jet yang berpangkalan di Pulau Pinang yang digantung sejak April 2021 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang berpanjangan.

“Langkah ini melengkapkan Malaysia Airlines dalam berkhidmat untuk pasaran riadah sambil mempelbagaikan asas Firefly yang menghubungkan bandar-bandar sekunder di Semenanjung ke Malaysia Timur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Penerbangan sulung MH2721 dari Pulau Pinang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini.

Izham berkata dengan penerbangan terus dari Pulau Pinang ke Kuching dan Kota Kinabalu ini, ditambah dengan kekerapan tambahan dari Kuala Lumpur, syarikat penerbangan itu yakin bahawa ketersambungan ini akan menghidupkan semula pelancongan domestik untuk bandar-bandar sekunder terbesar di negara ini.

Beliau berkata syarikat penerbangan itu kini menggunakan pesawat B737-800 di kedua-dua laluan dan beroperasi empat kali seminggu untuk Pulau Pinang-Kota Kinabalu dan dua kali seminggu untuk laluan Pulau Pinang-Kuching.

Pelanggan dengan pelan perjalanan di antara sektor itu boleh menikmati tambang rendah masing-masing bermula daripada RM219 dan RM279, untuk perjalanan sehingga Mac 2022. - Bernama 

Advertisement