Anda di sini

LPKP Sarawak laksana sistem permohonan lesen dalam talian mulai Feb 2022

Advertisement
Lipin (duduk, tiga kiri), Masitah (duduk, dua kiri) serta yang lain selepas berakhirnya sesi dialog tersebut di Sibu, hari ini.
Lipin (duduk, tiga kiri), Masitah (duduk, dua kiri) serta yang lain selepas berakhirnya sesi dialog tersebut di Sibu, hari ini.

SIBU: Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak bakal melaksanakan sistem permohonan lesen secara dalam talian yang akan bermula pada pertengahan Februari 2022.

Pengerusinya, Dr Ripin Lamat berkata, sistem ini berasaskan 'web-base' yang boleh diakses di mana mana sahaja, diharapkan akan dapat memberikan kemudahan kepada pelesen dan meningkatkan kecekapan urusan permohonan lesen. 

"Melalui pelaksanaan permohonan lesen secara dalam talian ini, pelesen tidak lagi perlu mengisi borang secara manual dan hadir berulang kali ke pejabat LPKP. 

"Sebaliknya permohonan dan bayaran akan dibuat secara dalam talian, dan pemohon hanya perlu hadir berurusan di pejabat LPKP untuk mengambil lesen sahaja," katanya pada Sesi Dialog Bersama Persatuan Pelesen Kenderaan Perdagangan yang berlangsung di sini, hari ini.

Seramai 15 orang wakil daripada 12 persatuan kenderaan perdagangan di zon tengah menghadiri sesi dialog tersebut di Wisma Persekutuan Blok 2, Jalan Awang Ramli Amit.

Sehubungan itu, Ripin berkata, bagi membiasakan pengguna dengan sistem ini, LPKP Sarawak akan mengadakan beberapa sesi libat urus bersama persatuan-persatuan pelesen untuk memberikan penerangan dan latihan tentang penggunaan sistem tersebut nanti.

Jelasnya, keperluan ini bersesuaian dengan normal baharu pasca COVID-19 LPKP Sarawak.

Dalam perkara lain, beliau menjelaskan sepanjang tahun 2021, selain daripada fungsi utama iaitu mengeluarkan lesen kenderaan perdagangan, LPKP Sarawak juga diamanahkan untuk membantu kerajaan mengagihkan bantuan sekali beri kerajaan di bawah insitatif program Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA). 

Menurutnya, program ini dilaksanakan bagi membantu mengurangkan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara. 

"Di bawah program ini penerima yang layak terdiri daripada pemandu teksi, kereta sewa, bas sekolah, bas persiaran dan e-hailing akan mendapat bantuan sebanyak RM500 daripada kerajaan secara 'one off'.

"Pada tahun 2021, seramai 4,140 orang telah mendapat manfaat di bawah inisiatif PERMAI. Manakala di bawah inisiatif PEMERKASA, seramai 4,094 penerima telah yang layak mendapat bantuan," jelasnya yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir. 

Sementara itu, katanya, di bawah Kerajaan Negeri Sarawak melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0, golongan pemandu teksi, kereta sewa dan pengusaha bas sekolah yang berdaftar di Sarawak juga tidak ketinggalan mendapat bantuan sebanyak RM600, manakala pengendali e-hailing sebanyak RM500 diberikan secara sekali beri yang dibayar melalui Sarawak Pay.

Sesi dialog kali ini merupakan siri ketiga selepas di Miri dan Kuching yang diadakan pada 25 dan 26 November yang lalu. 

Bandar Sibu dipilih sebagai lokasi seterusnya bagi mewakili Zon Tengah Sarawak.

Program sesi dialog ini diadakan adalah bertujuan untuk mendapatkan pandangan dan maklumbalas daripada wakil persatuan berkaitan pelesenan kenderaan perdagangan; sebagai platform untuk berkongsi masalah serta isu yang dihadapi oleh pelesen kenderaan perdagangan; serta memupuk kerjasama dan persefahaman antara LPKP Sarawak dan juga pelesen.

Turut hadir pada sesi dialog tersebut ialah Pengarah LPKP Sarawak Masitah Annuar, Timbalan Pengarah LPKP Sarawak Razami Mohamad Jamali, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak DSP Mathew Manggie, wakil daripada Kementerian Pengangkutan Sarawak Dr. Lawrence Tseu Sed Kong, Ketua Cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan Sibu Mohd Faizal Abdullah dan Pengurus Puspakom Cawangan Sibu Ashamadi Madeni.

  • oleh
  • Advertisement