Anda di sini

Kerajaan terus komited majukan Tapak Warisan Dunia Kinabalu

Advertisement
JONISTON
JONISTON

KOTA KINABALU:  Kerajaan negeri menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar (KEPKAS) sentiasa komited untuk memajukan Tapak Warisan Dunia Kinabalu sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan bertaraf dunia.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai berkata, komitmen berkenaan adalah salah satu usaha kerajaan negeri untuk membina jati diri komuniti berteraskan budaya dan warisan negara. 

Katanya, rakyat Sabah terutama sekali penduduk di kawasan sekitar Tapak Warisan Dunia Kinabalu harus bangga dengan kepelbagaian flora fauna, kebudayaan dan geologi yang terdapat di kawasan itu.

"Kerajaan negeri melalui KEPKAS sentiasa berusaha membangunkan infrastruktur berkaitan pelancongan dan juga kebudayaan komuniti serta perlindungan khazanah kita dalam memastikan semua ini dapat tumbuh dengan harmoni dan sesuai dengan dasar kerajaan.  

"Dalam memastikan Tapak warisan Dunia Kinabalu ini terus dijaga dengan baik, kerajaan turut mengiktiraf Kawasan Kinabalu Geopark sebagai Geopark Kebangsaan dan sedang dalam proses untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Global Geopark pada 2022," katanya.

Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata demikian semasa melancarkan Sambutan Hari Komuniti Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu 2021 secara maya di sini hari ini.

Beliau turut menekankan program geopark itu akan memberi banyak peluang kepada komuniti terutama sekali dalam meningkatkan pendapatan melalui aktiviti pelancongan dan juga pengekalan budaya di daerah serta kawasan kampung yang terbabit.

Pihaknya percaya, dengan pengiktirafan itu, ia mampu menarik minat rakyat dan pelancong asing untuk mengenali Tapak Warisan Dunia Kinabalu serta Kinabalu Geopark dengan lebih dekat, seterusnya menarik lebih ramai kehadiran pelancong ke Sabah.

Dalam pada itu, Joniston menyeru agar rakyat Sabah, terutama sekali penduduk di persekitaran Tapak Warisan Dunia Kinabalu, turut sama berganding bahu dengan kerajaan dalam memelihara khazanah negeri ini daripada dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sambutan Hari Komuniti adalah salah satu daripada acara tahunan yang dimasukkan dalam 'Calender of Event' di bawah KEPKAS.
 

  • oleh
  • Advertisement