Anda di sini

Juventus terselamat dari ancaman Salernitana 

Advertisement
 Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Serie A Itali di antara Salernitana dan Juventus di Stadium Arigis di Salerno. — Gambar AFP
SENGIT: Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Serie A Itali di antara Salernitana dan Juventus di Stadium Arigis di Salerno. — Gambar AFP

MILAN: Juventus terselamat ancaman Salernitana dengan kemenangan sukar 2-0 pada Selasa, sekali gus memberikan sedikit kegembiraan selepas satu minggu yang sukar sementara Atalanta terus mengekalkan saingan dengan pendahulu Serie A Itali dengan menewaskan Venezia 4-0.

Paulo Dybala dan Alvaro Morata menjaringkan gol yang memberikan Juventus tiga mata penuh pada perlawanan di Stadio Arechi tetapi mereka kekal di tangga ketujuh, tujuh mata di belakang Atalanta yang menduduki tangga keempat liga, slot  terakhir kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

“Sekarang ini, lebih dari sebelumnya, kami berasa sangat bertanggungjawab. Kami tidak memerlukan apa-apa yang luar biasa, kami perlu melakukan perkara normal tetapi dengan kebijaksanaan dan hari ini kami melakukannya,” kata Giorgio Chiellini.

Dybala membuka jaringan pada  minit ke-21 selepas bergandingan cantik dengan Dejan Kulusevski dan 10 minit kemudian, Juventus memikirkan mereka menambah jaringan menerusi gol kapten pasukan, Chiellini.

Tetapi gol itu tidak dibenarkan pengadil selepas Moise Kean berkedudukan ofsaid ketika Chiellini merembat bola muntah dari tendangan percuma Juan Cuadrado yang terkena palang.

Selepas itu, Juventus menguasai permainan tetapi boleh dianggap bernasib baik tidak bolos gol penyamaan apabila pertahanannya sedikit alpa dari satu umpanan kepada Luca Ranieri namun penyudah penyerang berusia 22 tahun itu tersasar dari jarak dekat.

Berbaki 20 minit permainan, Morata melegakan pasukannya dengan  gol kedua selepas menerima umpanan Federico Bernardeschi.

Dybala tidak bernasib baik menjaringkan gol kedua peribadi apabila tendangan penaltinya pada minit kecederaan melambung tinggi.

Pasalic menjaringkan hatrik ketika Atalanta meneruskan rentak cemerlang mereka di Bergamo untuk menghampiri dengan kurang empat mata berbanding pendahulu liga, Napoli.

Selepas kemenangan memberangsangkan ke atas Juventus pada hujung minggu lepas, Atalanta meraih kemenangan liga yang keempat berturut-turut hasil hatrik Pasalic dan gol Teun Koopmeiners meletakkan mereka berkongsi 31 mata dengan pasukan di tangga ketiga, Inter Milan.

Skuad kendalian Gian Piero Gasperini itu belum tewas dalam perlawanan di Itali dan tidak boleh diketepikan dalam saingan kejuaraan liga selepas menewaskan pasukan Venezia walaupun melakukan beberapa pertukaran pemain dari skuad yang menewaskan Juventus Sabtu lepas.

Pasalic menyukarkan tugas pasukan pelawat apabila menyempurna hantaran Josip Illicic  untuk gol pembukaan seawal minit ketujuh dan kemudian menambah jaringan lima minit selepas itu.

Venezia tidak kelihatan mampu untuk bangkit dan Koopmeiners menamatkan saingan dengan gol ketiga selepas satu jam permainan.

Pasalic melengkapkan hatrik dan gol pasukannya 10 minit kemudian dari umpanan Luis Muriel.

Selepas perlawanan, presiden kelab Atalanta, Luca Percassi mengumumkan bahawa Gasperini sudah menandatangani kontrak baharu sehingga 2024, dengan pilihan satu tahun lagi.

Pada perlawanan lain di Florence, Dusan Vlahovic mengekalkan kedudukan selaku penjaring terbanyak liag dengan gol ke-12 musim ini  untuk meletakkan Fiorentina di hadapan pada minit ke-32 ketika menentang Sampdoria selepas Jose Callejon mengikat gol pembukaan Manolo Gabbiadini.

Riccardo Sottil menjadikan kedudukan 3-1 sebelum rehat untuk memberikan kemenangan kepada skuad kendalian Vincenzo Italiano. — AFP

Advertisement