Anda di sini

Individu 18 tahun perlu sedia galas tanggungjawab sebagai pengundi

Advertisement
 

KUCHING: Individu berusia 18 tahun perlu bersedia menggalas tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada masa akan datang, kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. 

"Kita perlu menerima mereka yang layak mengundi untuk menentukan kerajaan pada masa depan sekali gus meneruskan pembangunan. 

"Sebagai anggota dalam parti politik, bagi saya itu tiada masalah. Bagaimanapun, mereka perlulah membuat pilihan yang bijak," katanya semasa sidang media selepas Majlis Perasmian Penerbangan Malaysia Airlines Kuching-Penang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini. 

Jelas Abdul Karim, mereka yang berusia 18 tahun ini sudah boleh menjalankan tanggung jawab seperti membeli rumah, tanah dan sebagainya. Jadi mengapa tidak golongan ini diberikan tanggungjawab untuk mengundi. 

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Parlimen dan Undang-Undang) Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kelayakan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik tidak dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12). 

Jelas Wan Junaidi dalam kenyataan media, PRN12 melibatkan daftar pemilih pilihan raya terkini yang dikemas kini sehingga 2 November 2021 walaupun kerajaan telah mewartakan arahan berkenaan. 

Daftar pemilih pilihan raya itu telah diperakui sebelum pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 3 November lalu, selaras dengan Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2022. 

Katanya, keputusan itu berdasarkan proses undang-undang, termasuklah keputusan yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuching. 

Ia bukan bertujuan untuk memfailkan atau mengetepikan hak dan hasrat belia berumur 18 tahun ke atas untuk mengundi. 

Advertisement