Anda di sini

Fikir faktor keselamatan jika mendirikan rumah - Nizam

Advertisement
 Nizam (tengah) menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran.
SUMBANGAN: Nizam (tengah) menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran.

TAWAU: Penduduk di daerah ini yang mahu mendirikan rumah di kawasan perkampungan perlu mengambil kira faktor keselamatan bagi mengelak berlakunya musibah kebakaran.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata kebanyakan kes kebakaran berlaku di kawasan penempatan yang tidak tersusun ataupun setinggan.

“Kebiasaanya punca kebakaran disebabkan pendawaian elektrik, kecuaian semasa memasak dan kedudukan rumah yang terlalu rapat.

“Justeru, saya sarankan kepada mereka yang mahu membina rumah supaya mendapatkan khidmat nasihat daripada Majlis Perbandaran Tawau (MPT) terlebih dahulu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian semasa menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Tawau Lama, di sini semalam.

Menurutnya, risiko kebakaran boleh dikurangkan sekiranya masyarakat mengikut peraturan semasa mahu membina struktur kediaman.

“Namun, malangnya ramai masyarakat di daerah ini tidak mengambil berat soal keselamatan ketika proses mendirikan rumah.

“Mereka lebih suka mengambil jalan mudah bagi mengelak mengeluarkan belanja, tetapi jika berlaku kebakaran ia lebih merugikan kerana kehilangan harta benda,” katanya.

Sementara itu, Nizam menasihatkan masyarakat agar tidak sewenangnya mendirikan rumah tanpa kebenaran tuan tanah atau di tanah milik kerajaan.

“Perbuatan itu adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya didapati bersalah,” katanya.

Nizam turut menzahirkan rasa simpati kepada mangsa kebakaran dan berharap mereka tabah menghadapi musibah tersebut.

“Sebagai wakil rakyat di kampung ini, saya turun sendiri melihat dan menyampaikan sumbangan kepada lima ketua keluarga mangsa kebakaran di sini.

“Saya berharap dengan sumbangan berkenaan dapat meringankan sedikit bebanan yang mereka tanggung,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement