Anda di sini

Chong bertukar ke Padungan, Batu Kawah dicabar Kelvin 

Advertisement
Calon DAP (dari kiri) Michael, Leslie, Violet, Chong, Kelvin dan Aziz.
Calon DAP (dari kiri) Leslie, Michael, Violet, Chong, Kelvin dan Aziz.

KUCHING: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa pad Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12). 

Sebaliknya penyandang tiga penggal kerusi DUN Kota Sentosa itu yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak akan bertanding di kerusi DUN Padungan yang dimenangi DAP menerusi Wong King Wei. 

"Kerusi Pending akan ditandingi Violet Yong yang juga penyandang sedia ada, Kota Sentosa (Michael Kong), Batu Kitang (Abdul Aziz Isa) dan Stakan (Leslie Ting). 

"Kerusi Batu Kawah pula akan ditandingi Kelvin Yii yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching," katanya pada sidang media pengumuman calon bagi enam kerusi DUN di Ibu Pejabat DAP di sini hari ini. 

Mengenai keputusannya bertanding di Padungan, Chong berkata sebagai pengerusi DAP negeri, beliau harus ambil alih kerusi itu selepas penyandangnya Wong keluar parti. 

"Saya sebagai ketua perlu berdepan dengan mengundi atas apa yang berlaku di Padungan dimana penyandang yang mereka pilih telah keluar parti," katanya.

Bagi pencalonan Kelvin di Batu Kawah pula katanya, ia dibuat mengambil kira peranan besar Ahli Parlimen Bandar Kuching itu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parlimen (Kesihatan, Sains dan Inovasi). 

Katanya pandemik COVID-19 adalah kebimbangan utama rakyat Sarawak dan penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Dato Sri Dr Sim Kui Hian yang juga penyandang kerusi Batu Kawa gagal menjalankan tugas sebagai penasihat.

"Pengalaman, pengetahuan dan kepakaran Kelvin di peringkat nasional sangat diperlukan dan diharap beliau akan diberi peluang dalam  DUN Sarawak," katanya. 

Mengenai rundingan agihan kerusi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Chong berkata ia sudah dimuktamadkan pada Januari tahun ini lagi. 

Justeru katanya tiada ruang lagi untuk rundingan antara DAP dan PKR kerana keputusan sudah dipersetujui antara jawatankuasa dalam parti. 

Dalam pada itu, dua calon bagi kerusi Dudong dan Bawang Assan akan diumumkan beliau esok di Sibu. 

  • oleh
  • Advertisement