Anda di sini

Cheng Hoe hilang khidmat dua tonggak tengah KL City Akram, Kenny

Advertisement
 

PETALING JAYA: Dua tonggak utama Kuala Lumpur (KL) City FC yang membantu skuad Ibu Kota itu menjuarai Piala Malaysia 2021 terpaksa melupakan kempen Piala AFF bersama skuad Harimau Malaya bermula Ahad ini, kata ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe (gambar).

Beliau berkata Muhammad Akram Mahinan dan D. Kenny Pallraj mengalami kecederaan serius pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi yang memerlukan masa yang panjang untuk pulih.

“Akram mengalami kecederaan koyak otot pangkal paha dan Kenny pula koyak ligamen lutut, menurut doktor ia mengambil masa panjang untuk pulih. Jadi kita terpaksa melupakan khidmat kedua-dua pemain tengah ini.

"Buat masa ini, kita tak panggil pemain lain untuk menggantikan mereka, tetapi tumpu dengan pemain yang sedia ada. Kita mengharapkan pemain lain bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk harungi kempen kali ini,” katanya ditemui pemberita ketika sesi latihan pasukan kebangsaan di Kompleks Sukan PKNS di sini, pada Rabu.

Cheng Hoe yang sebelum ini hilang khidmat penyerang Darren Lok akibat kecederaan otot perut, kini menaruh harapan kepada pemain seperti Baddrol Bakhtiar, Muhammad Syafiq Ahmad, Junior Eldstal dan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi untuk mengalas tanggungjawab di bahagian tengah.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh yang mempunyai isu peribadi dan Baddrol yang kehilangan abangnya Rozaimi semalam, diberi pelepasan satu atau dua hari dan berharap mereka dapat kembali bersama skuad Harimau Malaya dalam masa terdekat.

Beliau berkata sasaran untuk mara ke final Piala AFF merupakan cabaran besar, namun berharap anak buahnnya mampu melakukan yang terbaik berbanding edisi sebelum ini. 

"Kita nak lihat pasukan melakukan lebih baik berbanding edisi sebelum (muncul naib juara). Kita berharap apabila tiba di Singapura nanti, semua bersiap sedia dengan tahap keyakinan yang tinggi untuk hadapi cabaran Piala AFF,” katanya.

Dalam pada itu, pemain sayap Safawi Rasid yang melaporkan diri ke kem latihan pusat berharap untuk mendapatkan kembali sentuhan berbisa pada kejohanan Piala AFF, selepas prestasinya tidak begitu membanggakan tahun ini.

Pemain berusia 24 tahun itu, mengakui sebagai pemain, sudah menjadi lumrah mengharungi ‘naik dan turun’ dalam karier, tetapi bertekad untuk menjadikan kempen Piala AFF kali ini sebagai kebangkitan.

Safawi yang memainkan watak utama dalam membantu Malaysia mara ke final edisi 2018, turut optimis skuad kali ini yang dibarisi pemain berpengalaman dan naturalisasi, mampu mencapai keputusan yang lebih baik.

Malaysia yang merupakan juara edisi 2010, akan memulakan kempen Kumpulan B menentang Kemboja pada 6 Dis ini, diikuti Laos (9 Dis), Vietnam (12 Dis) dan Indonesia (19 Dis) dalam misi mencapai sasaran mara ke akhir buat kali kedua berturut-turut. -- BERNAMA

Advertisement