Anda di sini

AS catat kes pertama varian Omicron

Advertisement
 

NEW YORK: Amerika Syarikat mengesan kes pertama varian Omicron COVID-19 di negeri California, kata pihak berkuasa kesihatan pada Rabu.

Jabatan Kesihatan Awam California dan San Francisco mengesahkan kes COVID-19 varian Omricon pada seorang pengembara yang pulang dari Afrika Selatan pada 22 Nov, lapor Xinhua memetik Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS dalam satu kenyataan.

Pegawai itu berkata penjujukan genomik dijalankan di University of California, San Francisco dan  disahkan di CDC sebagai konsisten dengan varian Omicron, yang pertama kali dikesan di selatan Afrika bulan lepas.

Individu itu sudah lengkap divaksin dan mengalami simptom yang tidak begitu ketara dan semakin pulih, menjalani kuarantin kendiri dan kemudiannya disahkan positif. Semua kontak rapat telah dihubungi dan ujian saringan mereka menunjukkan keputusan negatif, menurut CDC.

Agensi kesihatan itu berkata kemunculan varian itu "meningkatkan penekanan terhadap kepentingan vaksinasi, suntikan penggalak dan strategi pencegahan umum yang diperlukan untuk melindungi daripada COVID-19. Semua orang yang berumur lima tahun ke atas harus mendapatkan vaksin. Penggalak disyorkan untuk semua orang yang berumur 18 tahun ke atas."

Afrika Selatan melaporkan varian itu kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia minggu lalu, dan agensi itu melabelkan Omicron sebagai "varian membimbangkan". Pentadbiran Joe Biden bertindak dengan mengumumkan sekatan perjalanan antarabangsa untuk lapan negara Afrika selatan. - Bernama 

Advertisement