Anda di sini

Tiada keperluan tutup Parlimen, KKM ada kerangka tangani COVID-19

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Tiada keperluan untuk menutup sidang mesyuarat Parlimen meskipun terdapat kes positif COVID-19 dilaporkan dalam kalangan warga Parlimen, kerana Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai kerangka dan pengalaman untuk menangani wabak itu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata antaranya ialah seperti kekerapan ujian pengesanan COVID-19 selain mengasingkan mereka yang dikesan positif virus berkenaan.

“Kita (KKM) juga ada strategi dan vaksinasi (program). Dengan adanya semua strategi ini, kita harap bahawa bila berlakunya penularan kes, kita tidak perlu melaksanakan tindakan drastik seperti PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), lockdown, tutup Parlimen dan sebagainya.

"Di mana sekarang ini kita sudah ada pengalaman dan langkah-langkah seperti menutup Parlimen dan sebagainya menjadi langkah terakhir… kalau sekiranya kita dapat buat ujian dengan kerap di Parlimen (sekarang) kita buat dua hari ujian saringan (dalam seminggu) maka tiada keperluan untuk kita menutup perjalanan Parlimen,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita sama ada terdapat keperluan untuk menggantung sementara Parlimen susulan terdapat 84 kes positif COVID-19 dikenal pasti hasil saringan berkala yang dijalankan sepanjang persidangan Parlimen sejak 27 Oktober lepas.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut memaklumkan sebanyak 25 kes positif COVID-19 yang dikesan melalui saringan berkala di Parlimen pada Isnin lepas (29 Nov) berkemungkinan besar varian Delta.

Persidangan Dewan Rakyat kini sedang berlangsung sejak 27 Oktober hingga 16 Disember ini manakala sidang Dewan Negara akan bermula pada 8 Disember hingga 23 Disember 2021. - Bernama 

Advertisement