Anda di sini

Sekatan sementara bagi pengembara bukan warganegara dari negara jangkitan Omicron

Advertisement

KUCHING: Sekatan perjalanan sementara dikuatkuasakan untuk pengembara bukan warganegara Malaysia yang datang dari negara melaporkan penularan varian membimbangkan (VOC) Omicron atau negara berisiko tinggi berlaku penularannya.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), sekatan ini juga dikuatkuasakan terhadap pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan.

“Sehubungan itu juga, Jawatankuasa turut membuat keputusan untuk menangguhkan sementara kemasukan pelajar antarabangsa dan pekerja asing dari negara terlibat. Langkah-langkah kawalan dan pencegahan tersebut berkuatkuasa serta-merta,” ujar JPBNS menerusi satu kenyataan hari ini.

Jawatankuasa dalam pada itu juga menegaskan yang hanya warganegara Malaysia dan pemegang pas lawatan jangka-panjang (PR status, spouse visa, Sarawak Malaysia My Second Home (SMM2H) yang pulang ke Malaysia dari Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan, Zimbabwe dan Malawi atau mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke negara-negara tersebut dibenarkan memasuki Sarawak.

Ia susulan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang mengumumkan negara Malawi tersenarai dalam sekatan penerbangan terus atau transit dari negara yang melaporkan penularan VOC Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron.

Ini menjadikan jumlah negara terkini dalam senarai sekatan perjalanan adalah sebanyak lapan buah; iaitu Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan, Zimbabwe dan Malawi.

“Mereka yang terlibat mesti memohon dalam sistem EnterSarawak dan menjalani kuarantin wajib selama empat belas (14) hari di stesen kuarantin yang ditetapkan di ‘First Point of Entry’ ke Malaysia tanpa mengira status vaksinasi.

“Kuarantin di rumah adalah tidak dibenarkan manakala transit ke destinasi lain adalah tidak dibenarkan sehingga lengkap tempoh kuarantin,” tegasnya.

Selain itu katanya, individu terlibat hendaklah melakukan ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR) tiga hari sebelum berlepas.

“Manakala keputusan Swab Ujian RT-PCR pada hari ke-12 adalah negatif sebelum diberi kebenaran penamatan dari kuarantin dan pengembara dari luar negara wajib melaporkan sejarah perjalanan kepada petugas di lapangan terbang,” ujarnya.

Tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya memberi maklumat palsu atau gagal melaporkan sejarah perjalanan.

Sementara itu, Sarawak kembali merekodkan kes baharu COVID-19 tiga angka dengan 121 kes dilaporkan hari ini selepas dua hari berturut-turut (29 dan 30 November) hanya 98 kes dilaporkan.

JPBNS berkata majoriti kes baharu yang dilaporkan hari ini adalah kategori dua (gejala ringan) iaitu 64 kes, manakala kategori satu (tiada gejala) 54, satu kes pula kategori tiga (jangkitan patru-paru) dan dua kes kategori empat  (jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen).

Antara daerah yang merekodkan kes baharu COVID-19 hari ini ialah Kuching (47) , Sibu (19), Miri (13), Bintulu (11), Serian (9), Limbang (4), Samarahan (3), Lawas (3), Lundu (3) dan Simunjan (3).

Empat lagi kematian direkodkan antara 24 hingga 30 November 2021.

  • oleh
  • Advertisement