Anda di sini

Remaja positif dadah diberkas menunggang motosikal

Advertisement
DSP Mathew melakukan pemeriksaan semasa operasi tersebut.
DSP Mathew melakukan pemeriksaan semasa operasi tersebut.

KUCHING: Seorang penunggang motosikal diberkas apabila didapati positif dadah semasa ditahan untuk pemeriksaan dalam operasi khas oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak semalam.

Ketua JPST Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata suspek yang merupakan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun terdahulunya bersama seorang rakannya ditahan untuk pemeriksaan selepas dilihat mencurigakan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek terbabit yang menunggang sebuah motosikal disahkan positif dadah.

"Mereka terdahulunya ditahan kerana disyaki menunggang motosikal curi selepas pemeriksaan mendapati nombor pendaftarannya palsu.

"Hasil siasatan lanjut turut mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Tambahnya, suspek bersama rakannya itu kemudian ditahan di Balai Polis Tabuan Jaya untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu sebanyak 157 saman atas pelbagai saman trafik dikeluarkan sepanjang operasi tersebut dijalankan.

"Selain itu sebanyak 212 buah kenderaan dan 317 individu diperiksa sepanjang operasi tersebut yang dijalankan di Kuching-Samarahan Expressway," katanya.

Operasi tersebut diketuai Timbalan Ketua JSPT Sarawak DSP Mathew Manggie dan dianggotai lima pegawai dan 12 anggota JSPT Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

  • oleh
  • Advertisement