Anda di sini

PRN12: Gira sahkan dicalonkan semula pertahan kerusi Tamin

Advertisement
 

SIBU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin Christopher Gira Sambang (gambar) mengesahkan beliau dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi negeri itu pada Pilihan Raya negeri Ke-12 (PRN12).

Gira berkata, beliau telah menerima jemputan ke majlis penyerahan watikah Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada calon bagi PRN12 yang dijadualkan pada 3 Disember ini.

Beliau berkata, Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan menyampaikan watikah berkenaan dalam satu majlis yang akan diadakan di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera (PBB) di Kuching.

Sehingga kini, Gira, 51, berkata beliau tidak pasti dengan calon dari parti lain yang akan bertanding di Tamin.

“Apa yang saya dengar, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) sudah menyuarakan hasrat untuk bertanding di Tamin.

“Tetapi saya tidak tahu nama calon mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengenai kempen, beliau berkata mereka akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Jentera akan digerakkan dan mereka akan bergerak dalam kumpulan kecil,” katanya lagi.

Gira memenangi pilihan raya negeri 2016 dengan majoriti 2,085 selepas mendapat 6,230 undi menentang calon bebas Dr Ali Puji yang memperoleh 4,145 undi dan calon PKR Simon Joseph Usau 954 undi.

Pada PRN12, beliau dijangka berdepan dengan bekas ahli parlimen Selangau Datuk Joseph Entulu Belaun dari PSB, Muda Prinching (PBK) dan juga calon dari PKR.

Sementara itu, Gira berkata, sebanyak 1,802 projek bernilai RM355.160 juta dilaksanakan di Tamin dari 2016 hingga 2021.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 1,797 projek berjumlah RM131 juta adalah daripada kerajaan negeri manakala lima projek bernilai RM224.160 juta adalah daripada kerajaan persekutuan.

“Daripada kerajaan negeri, 10 di bawah projek rakyat dengan kos RM86 juta, 226 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RM30 juta), 641 di bawah projek kecil luar bandar (RM11.5 juta) dan 920 di bawah Projek Pembaikan Perumahan Termiskin (PPRMS) Sarawak. (RM3.5 juta).

“Lima projek yang dibiayai kerajaan persekutuan ialah menaik taraf loji penapisan air dan sambungan paip Stapang menelan belanja RM117 juta, pembinaan SMK Selangau baharu (RM88 juta), menaik taraf SK Sungai Sepiring (RM11.16 juta), pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Selangau (RM5 juta) dan pusat hemodialisis Klinik Kesihatan Selangau dengan kos RM3 juta,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement