Anda di sini

PRN Sarawak: Anak arwah Tok Nan calon GPS Tanjong Datu?

Advertisement
Azizul beramah mesra dengan para penduduk Tanjong Datu. - Gambar Facebook Azizul

KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di DUN Tanjong Datu bakal menampilkan muka baharu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia susulan daripada pengumuman penyandang kerusi berkenaan Datuk Amar Jamilah Anu yang mahu mengundur diri.

Nama yang disebut-sebut menggantikan Jamilah ialah anaknya dengan mantan Ketua Menteri Pehin Sri Adenan Satem iaitu Azizul Annuar Adenan.

"Pada pilihan raya negeri akan datang, kita memang akan mengetengahkan orang muda yang telah kita latih untuk masa depan.

"Datuk Amar Jamilah (penyandang kerusi DUN Tanjong Datu) telah menyatakan hasrat untuk mengundur diri, yang memberi laluan kepada anaknya, yang juga telah kita latih dalam parti.

"Insya-Allah, kita kemukakan sebagai barisan pemuda, yang akan melibatkan diri dalam pembangunan negeri kita," katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Perasmian CENTEXS Lundu dan Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN serta Penyampaian Kunci Rumah Spektra Permata Lundu & Sematan di Lundu, hari ini.

Bagaimanapun Abang Johari yang juga Pengerusi GPS tidak mendedahkan nama anak Jamilah yang bakal menggantikannya di Tanjong Datu pada PRN12 nanti.

"Ini adalah budaya kita dalam PBB yang melatih pemuda serta juga GPS khasnya, demi memastikan masa depan kita cerah selain mempertahankan perpaduan dalam kalangan kita," katanya yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Untuk rekod, Jamilah bertanding atas tiket calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu pada 2017 bagi menggantikan Adenan yang meninggal dunia.

Jamilah pada PRK berkenaan menewaskan calon Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) Johnny Aput dan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru, Rapelson Richard Hamit dalam pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya kecil (PRK) Tanjong Datu

Jamilah menang dengan majoriti 6,443 undi apabila memperoleh 6,573 undi, manakala Johnny Aput memperoleh 108 undi dan Rapelson 130 undi.

  • oleh
  • Advertisement