Anda di sini

Lelaki bersenjata bunuh tiga di wilayah minyak selatan Nigeria 

Advertisement

PORT HARCOURT: Sekumpulan lelaki bersenjata membunuh dua kontraktor Nigeria yang bekerja  dengan syarikat subsidiari tempatan bagi ENI dari Itali dan seorang pengawal keselamatan dalam serangan di wilayah Delta Niger yang menghasilkan minyak di Nigeria,  menurut seorang pegawai keselamatan dan syarikat kelmarin.

Nigeria berdepan dengan keganasan di Delta Niger sehingga satu perjanjian pengampunan 2009 dengan militan yang sebahagian besar menghentikan serangan ke atas loji minyak dan penculikan.

Namun keganasan masih berlaku dan lanun serta kumpulan penjenayah beroperasi di wilayah itu, menyasarkan kapal luar pesisir untuk serbuan dan menculik kru mereka.
Lelaki bersenjata membunuh dua pekerja syarikat cawangan ENI, Syarikat Minyak Agip Nigeria dan seorang pegawai dari Kor Pertahanan Awam dan Keselamatan Nigeria (NSCDC) pada Ahad lepas di wilayah pengeluaran minyak Bayelsa, kata jurucakap NSCDC tempatan, Ogbere Solomon.

“Pegawai kami telah diserang hendap oleh beberapa lanun yang tidak dikenali ketika di bawah perlindungan beberapa pekerja Minyak Agip di Okoroma," jelasnya.

Dalam satu kenyataan, ENI berkata, kontraktor tersebut sedang bertugas dalam projek pemulihan semula tanah paya bakau di bawah iringan penjaga keselamatan ketika diserang oleh kumpulan bersenjata itu. Ia mengesahkan tiga orang maut dan dua cedera.

Projek tersebut adalah untuk memulihara  tanah paya bakau yang terjejas akibat penapisan haram dan tumpahan akibat sabotaj ke atas loji minyak di kawasan itu, jelasnya.

Ketika kemuncak keganasan di Delta Niger, kumpulan militan menuntut bahagian yang lebih besar  daripada hasil pendapatan minyak di wilayah selatan, di mana  minyak Nigeria dihasilkan.

Ribuan bekas pejuang pemberontak telah disenaraikan dalam pengampunan kerajaan selepas mereka menyerahkan senjata pada 2009 dalam pertukaran bagi latihan dan gaji untuk bekas militan serta perjanjian infrastruktur  bagi wilayah tersebut.

Serangan sejak itu berlaku sekali-skala dan pada masa lepas kegagalan untuk melunaskan bayaran pengampunan telah menambahkan ketegangan dengan bekas militan. - AFP

Advertisement