Anda di sini

KPLB bantu wanita ceburi bidang keusahawanan

Advertisement
 Harun (tengah) menerima cenderakenangan daripada Ahmad Kamal.
CENDERAKENANGAN: Harun (tengah) menerima cenderakenangan daripada Ahmad Kamal.

TAWAU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengambil inisiatif membantu rakyat di negeri ini terutamanya golongan wanita untuk menceburi diri dalam bidang keusahawanan.

Mereka terdiri daripada wanita yang berada dalam kategori miskin, miskin tegar dan B40 luar bandar, namun berminat untuk meningkatkan pendapatan keluarga.  

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Sabah, Harun Durabi berkata pihaknya meneruskan beberapa program untuk meningkatkan pendapatan penduduk walaupun berdepan cabaran wabak COVID-19.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuklah Program Peningkatan Pendapatan (PPP) dan Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB).

“Program seumpama ini dapat memastikan masyarakat terutamanya di luar bandar memperoleh manfaat menyeluruh samada dari segi prasarana, ekonomi, perumahan dan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis Wacana Inspirasiku Negeri Sabah (WINS), di sini semalam.

Katanya, melalui pelaksanaan program tersebut  ia akan menjadikan kawasan luar bandar lebih kondusif dengan pelbagai aksesibiliti dan kemudahan.

“Selain itu, dapat menggalakkan generasi muda untuk terus kekal menetap dan membina masa depan di luar bandar dan sentiasa berdaya saing,” katanya.

Menurutnya, program WINS terus dilaksanakan walaupun negara berdepan dengan penularan wabak COVID-19.

“Kita tetap berusaha untuk melaksanakan program membantu rakyat dan cabaran itu tidak membantutkan objektif utama WINS.

“KPLB terus memberi peluang kepada kumpulan sasar terutamanya wanita untuk turut serta bersama usahawan yang berjaya di setiap negeri serta berkongsi pandangan dan pengalaman,” katanya.

Beliau berkata bagi memastikan usahawan dan peserta terus kekal bersaing di masa hadapan, mereka harus menambah nilai produk yang dihasilkan.

“Peserta perlu meningkatkan keupayaan bersaing dan menempatkan produk di dalam pasaran yang merangkumi kemahiran, inovasi, pembungkusan, pelabelan, akreditasi dan persijilan.

“Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan menyediakan platform bagi membantu golongan wanita untuk terus bersaing sebagai usahawan melalui program WINS,” katanya.

Harun berkata, strategi khusus perlu dibentuk kerana wanita juga turut memainkan peranan dalam keluarga, masyarakat, ekonomi dan politik.

“Kerajaan komited untuk mencari solusi dalam membentuk wanita yang lebih berdaya saing sekaligus mengoptimumkan potensi mereka dengan pelbagai bidang.

“Saya harap usaha yang dikendalikan oleh KEMAS terutamanya program WINS dapat membantu golongan wanita untuk terus menceburi diri dalam perniagaan dan keusahawanan,” katanya.

Terdahulu, seramai 1,672 wanita di negeri Sabah telah dibantu melalui program WINS sejak tahun 2017 sehingga kini.

Turut hadir, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandi dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi KEMAS Malaysia, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi.

  • oleh
  • Advertisement