Anda di sini

Kerajaan iktiraf 29 Mei sebagai Hari Wartawan Nasional 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengiktiraf 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Wartawan Nasional atau HAWANA.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa berucap pada majlis berprestij iaitu Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2021 yang berlangsung di sini, malam tadi.

“Kerajaan akan terus memberi sokongan kepada program-program yang sesuai untuk dilaksanakan,” katanya.

Kali terakhir sambutan HAWANA adalah pada April 2018.

Sementara itu, Ismail Sabri berharap hubungan kerjasama antara media dan wartawan Malaysia dengan rakan media dari negara jiran melalui platfrom ASEAN atau selainnya, dapat terus diperkukuhkan.

Beliau berkata hubungan itu turut dapat diperkukuh dengan menjadikan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) sebagai model.

“Lawatan saya ke Indonesia baru-baru ini membantu mengeratkan hubungan dengan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia atau ISWAMI yang telah terjalin sejak 2007.

“Saya percaya ISWAMI dapat memainkan peranan penting sebagai jambatan penghubung sesama wartawan kedua-dua negara,” katanya.

Perdana Menteri turut mencadangkan agar satu rangkaian kerjasama serantau membabitkan para wartawan pada peringkat serantau dapat diperkasa demi memudahkan capaian kesefahaman antara negara terlibat.

“Media dan wartawan adalah rangkaian persefahaman secara tidak langsung, selain daripada hubungan diplomatik sedia ada,” katanya.

ISWAMI yang dianggotai pelbagai agensi, pertubuhan dan organisasi media Malaysia ditubuhkan bertujuan mengharmoniskan hubungan Malaysia dan Indonesia, dalam menangani isu-isu berkepentingan bersama, selain berperanan sebagai pengantara kepada media di kedua-dua negara dalam menangani isu-isu semasa. - Bernama 

Advertisement