Anda di sini

Jabatan Perhutanan berperanan aktif pacu pembangunan eko-pelancongan

Advertisement
  Hajiji (tengah) menyampaikan Anugerah Rakan Konservasi kepada Pengarah Eksekutif Borneo Rhino Alliance (BORA) Datuk Dr Junaidi Payne atas usaha memulihara hidupan liar terancam dan habitatnya di negeri Sabah.
ANUGERAH: Hajiji (tengah) menyampaikan Anugerah Rakan Konservasi kepada Pengarah Eksekutif Borneo Rhino Alliance (BORA) Datuk Dr Junaidi Payne atas usaha memulihara hidupan liar terancam dan habitatnya di negeri Sabah.

KOTA KINABALU: Jabatan Perhutanan Negeri Sabah diminta supaya memainkan peranan aktif dalam memacu pembangunan eko-pelancongan yang dikenal pasti sebagai tonggak ekonomi utama dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, hutan adalah habitat kepada kepelbagaian bio dan menjadi tarikan utama pelancong domestik dan antarabangsa untuk datang ke Sabah.

Katanya, menerusi kepelbagaian bio yang ada di negeri ini, para pelancong yang datang boleh menemui antara lain pokok Dipterocarp tertinggi di dunia, orang utan, gajah, beruang, serta tembadau.

"Saya percaya, sebagai sektor eko-pelancongan bertaraf antarabangsa, masih banyak yang perlu diterokai dan diperbaiki, terutama selepas pandemik ini.

"Dari perspektif jaringan kelestarian hijau, saya berharap hutan di Sabah akan terus berfungsi sebagai yang terbaik untuk inisiatif 'Heart of Borneo' (HoB).

"Ia juga sejajar dengan aspirasi SMJ bahawa pemuliharaan dan mengekalkan hutan serta biodiversitinya diberi penekanan bukan sahaja untuk kepentingan Sabah serta negara malah juga untuk dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Apresiasi Perhutanan 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.

Dalam pada itu, Hajiji turut memuji inisiatif Jabatan Perhutanan dengan membuat langkah awal ke arah mencapai kelestarian hijau, yang disifatkannya sebagai satu langkah yang bijak.

Menurutnya, usaha jabatan berkenaan memastikan 30 peratus atau 2.2 juta hektar hutan Sabah menjadi Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) menjelang 2025 akan melengkapkan usaha mewujudkan koridor dan menyelesaikan isu ketersambungan (connectivity issue) hutan simpan di seluruh negeri.

"Pelan pemulihan dan pemuliharaan hutan oleh Jabatan Perhutanan perlu disokong oleh semua pihak, terutama pemegang konsesi Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA) atau Unit Pengurusan Hutan (FMU), pemain industri hiliran dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.

"Pujian perlu diberikan kepada konsesi SFMLA atau FMU yang mengekalkan pensijilan pematuhan mereka dalam pengurusan hutan serta semua rakan pemuliharaan atas sumbangan mereka dalam agensi konservasi negeri ini.

"Saya percaya Jabatan Perhutanan Sabah dengan jalinan kerjasama dan penglibatan semua pihak yang berkaitan mampu untuk terus mencapai kecemerlangan dalam agenda konservasi hutan dan pemulihan ke arah pengurusan lestari hutan kita untuk anak cucu," jelasnya.

Selain itu, Hajiji juga mengambil maklum dengan inisiatif Jabatan Perhutanan untuk membentuk semula sektor perhutanan bagi membawa manfaat sosial dan ekonomi berimpak tinggi kepada masyarakat.

Katanya, sebagai penghuni atau pemilik tanah di negeri ini, masyarakat lebih tahu apa yang terbaik untuk mengurus hutan.

Sehubungan itu, beliau percaya Jabatan Perhutanan sebagai agensi yang diamanahkan dalam menguruskan sumber hutan mengambil kira semua aspek, sejajar dengan pengurusan hutan lestari, untuk memenuhi keperluan generasi kini dan akan datang.

Terdahulu, Hajiji turut menekankan kepentingan pembentukan karekter terutamanya dalam memerhatikan tahap integriti yang tinggi dalam kalangan kakitangan.

"Sektor awam dan jabatan yang diamanahkan untuk menyimpan maklumat sulit kerajaan serta mereka yang mempunyai kuasa membuat keputusan mesti mempunyai integriti.

"Pelan antirasuah yang dirangka oleh kerajaan akan menjadi penanda aras kepada semua kementerian, jabatan dan agensi," katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam; Penasihat Teknikal kepada Ketua Menteri Datuk Sam Mannan (Perhutanan) dan Datuk Darrel Webber (Perubahan Iklim), dan Ketua Konservator Hutan Sabah Datuk Frederick Kugan.
 

  • oleh
  • Advertisement