Anda di sini

Isu harga barangan naik mendadak perlu dibincang di DUN: Masiung

Advertisement
MASIUNG
MASIUNG

KOTA KINABALU: Wakil Rakyat Kuamut Datuk Masiung Banah mencadangkan agar isu harga barangan asas yang naik mendadak perlu dibincang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang akan bersidang pada 03 hingga 09 Disember ini. 

Katanya, kenaikan harga barangan adalah isu kecemasan yang memerlukan tindakan segera melalui platfom DUN berikutan rakyat kini sedang terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Kita harapkan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengambil maklum masalah ini berikutan rakyat sudah melaungkan keperitan, lebih-lebih lagi isu ini timbul selepas seratus hari pembentukan kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Seperti sedia maklum status kewangan rakyat masih dalam pemulihan dan jika kenaikan harga ini tidak diuruskan dengan baik ianya akan membawa beban yang teruk kepada pengguna sekaligus meletakkan kesan buruk kepada kerajaan.

"Dalam isu ini, rakyat sudah jemu mendengar laporan media yang melaporkan alasan 'sedang mengkaji' atau akan ‘dibawa mesyuarat’ sedangkan kenaikan harga barangan terus berlaku," katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Masiung berkata terdapat beberapa insiden di media sosial berkenaan harga barangan tidak masuk akal yang dilaporkan pengguna kepada pihak berwajib bagaimanapun pihaknya melihat langkah diambil pihak berkuasa tidak setimpal.

"Sudah sampai masanya sidang DUN dijadikan medium bagi menyelesaikan isu ini di peringkat domestik khususnya kepada rakyat Sabah agar mereka tidak terus dibebani kenaikan harga runcit sedangkan gaji dan pendapatan mereka tidak bertambah.

“Saya juga berharap agar DUN Sabah menyediakan agenda mengenai isu ini dan dalam masa sama kementerian berkaitan perlu menyediakan laporan untuk dibincang dan dibahaskan,” katanya.

Katanya beliau juga melihat isu kenaikan harga barangan terus meningkat sejak September lalu yanh dimulakan dengan isu kenaikan harga racun rumpai yang naik melebihi seratus peratus diikuti harga baja serta bahan kimia pertanian lain. 

Bulan lalu harga bahan binaan terutama besi dan simen turut dilaporkan naik mendadak sebelum harga bahan makanan harian melonjak diluar kawalan. 

Isu kenaikan harga barangan hangat dibahaskan di Dewan Rakyat apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi diserang beberapa ahli parlimen pembangkang kerana berdolak dalik dalam isu tersebut.

  • oleh
  • Advertisement