Anda di sini

Gempa bumi gegar Peru, 12 cedera, 2,400 hilang tempat tinggal 

Advertisement
Castillo (kiri) menghulurkan tangan kepada seorang lelaki yang berdiri di tengah-tengah serpihan rumahnya yang musnah dalam kejadian gempa bumi di wilayah Amazon Peru pada Ahad lepas. - Gambar AFP
Castillo (kiri) menghulurkan tangan kepada seorang lelaki yang berdiri di tengah-tengah serpihan rumahnya yang musnah dalam kejadian gempa bumi di wilayah Amazon Peru pada Ahad lepas. - Gambar AFP

LIMA: Gempa bumi sekuat 7.5 magnitud di utara Peru mencederakan 12 orang dan memusnahkan 117 rumah, mengakibatkan lebih 2,400 hilang tempat tinggal, menurut pihak berkuasa kelmarin.

Gempa bumi, yang berlaku pada awal pagi Ahad dan mencetuskan gelombang gegaran di sekitar wilayah tersebut, turut merobohkan lima gereja dan merosakkan sebuah klinik serta jalan raya sepanjang kira-kira 1.5 kilometer.

Gegaran dirasai di hampir separuh negara, termasuk wilayah pantai dan Andean serta ibu negeri Lima. Ia turut menyebabkan kerosakan di negara jiran Ecuador.

Pusat gempa adalah 98 kilometer di timur Peru, pekan kecil Santa Maria de Nieva di Amazon Peru, sebuah kawasan tidak ramai penduduk yang didiami oleh orang asli, ramai daripada mereka tinggal di dalam rumah kayu dan lumpur yang runtuh dalam kejadian itu.

Menara sebuah gereja era kolonial setinggi 14 meter runtuh di daerah La Jalca, juga di Amazon.

Ketiadaan bekalan elektrik dilaporkan meluas, dan rangkaian jalan raya terputus oleh batu yang jatuh akibat gegaran.

“Kami semua dibawa ke jalan raya, kami berasa sangat takut,” seorang penduduk Lucia memberitahu radio RPP dari pekan utara Chota. Semua rasa solidariti saya bersama dengan penduduk Amazon ketika berdepan dengan gempa bumi kuat,” Presiden Peru Pedro Castillo, yang berada di tempat kejadian gempa bumi kelmarin, menyatakan di Twitter. 

“Anda tidak bersendirian, saudaraku.”

Presiden itu berkata, terdapat penduduk yang menunggu untuk diselamatkan di perkampungan hutan terpencildan berjanji bahawa kerajaan akan menyediakan makanan dan khemah.

Castillo berkata, beliau telah mengarahkan semua kementerian yang berkaitan untuk mengambil langkah segera.

Di Lima, lebih 1,000 kilometer di selatan pusat gempa, gempa bumi turut dirasai namun tidak kuat, tetapi ia berlaku cukup lama untuk menyebabkan segelintir orang mencari perlindungan di jalan raya.

Ibu negeri Peru itu, dengan populasi seramai 10 juta, telah digegarkan beberapa jam sebelumnya oleh gempa bumi sekuat 5.2 magnitud.

Tiada amaran tsunami yang dikeluarkan oleh pemantau Amerika Syarikat (AS). Peru mengalami sekurang-kurangnya 400 gempa bumi setiap tahun.

Ia terletak di wilayah dikenali sebagai Lingkaran Api Pasifik, sebuah kawasan yang banyak aktiviti seismik di sepanjang pantai barat di benua Amerika.

Gempa bumi yang sangat kuat dengan 7.9 magnitud melanda pantai tengah Peru pada 15 Ogos, 2007, menyebabkan lebih 500 kematian. - AFP

Advertisement