Anda di sini

Arifin yakin kerajaan negeri beri tumpuan terhadap aspek pendidikan dalam bajet nanti

Advertisement
 Arifin (kiri) ketika melakukan tinjauan ke SMAN Papar bagi melihat keadaan pelajar serta keperluan-keperluan lain yang memerlukan perhatian.
TINJAU: Arifin (kiri) ketika melakukan tinjauan ke SMAN Papar bagi melihat keadaan pelajar serta keperluan-keperluan lain yang memerlukan perhatian.



PAPAR: Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Arifin Arif yakin Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor akan memberikan perhatian terhadap aspek modal insan dan pendidikan dalam pembentangan bajet negeri nanti.


Beliau yakin perkara itu akan diberikan perhatian yang serius memandangkan ia adalah salah satu teras dalam agenda 'Sabah Maju Jaya' yang merupakan idea serta gagasan beliau (Hajiji).


"Saya yakin Ketua Menteri akan memberikan perhatian yang sangat mendalam berhubung dengan modal insan yang berkait rapat dengan ilmu dan pendidikan.


"Sebelum ini juga beliau (Hajiji) telah meluluskan beberapa bantuan yang mengambil kira keperluan modal insan seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Tunai Khas Peperiksaan (BAKTI) dan Bantuan Ehsan Komputer (BAIK).


"Justeru saya yakin perkara yang membabitkan pendidikan pasti diberikan perhatian dalam bajet, " katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Pantai Manis, dekat sini.


Dalam pada itu, Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut memberitahu, beliau bercadang untuk mewujudkan dua buah sekolah SMAN masing-masing di Sandakan dan Tawau memandangkan terdapat keperluan mengenai perkara itu.


"Kita merancang kalau boleh ada satu SMAN di Sandakan dan juga Tawau sebab ianya amat mendesak. Ada sebahagian pelajar terpaksa ditempatkan di SMAN Kunak dan juga di Kota Kinabalu. Di Tawau ada satu sekolah tetapi itu adalah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), " katanya.


Sempena lawatan ke SMAN Papar, Arifin yang merupakan Exco Pendidikan Negeri berkesempatan menyampaikan 50 buah komputer riba kepada pelajar di sekolah berkenaan dan 50 buah lagi kepada pelajar di SMAN Toh Puan Rahmah menerusi program BAIK.
 

  • oleh
  • Advertisement