Anda di sini

PRN Sarawak: GPS komited majukan Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Beberapa parti politik lebih berminat dengan perebutan kuasa berbanding kesejahteraan Sarawak dan rakyatnya, ujar Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof (gambar).

Menurutnya, golongan ini lebih berminat dengan perebutan kuasa masing-masing berbanding kesejahteraan rakyat Sarawak, justeru Gabungan Parti Sarawak (GPS) harus menjadi pilihan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).

“GPS hari ini kekal komited sepenuhnya untuk memenuhi visi Allahyarham Tan Sri Adenan Satem untuk Sarawak. Satu contoh ialah pengisytiharan bersama Tan Sri Adenan dengan Kerajaan Persekutuan pada April 2015 iaitu semua pengangkutan Sarawak mesti bebas tol dan bebas feri.

“Hari ini, kita telah berjaya menjadikan seluruh Sarawak bebas tol dengan semua tol sedia ada telah dimansuhkan pada 2016 sebagai bukti,” katanya menerusi kenyataan media, pada Isnin.

Satu lagi bukti komitmen GPS katanya, adalah kemajuan pesat dalam membuka Lebuhraya Pan Borneo bebas tol sepenuhnya yang akan membawa kepada kemajuan besar, keselesaan dan keselamatan untuk semua rakyat Sarawak.

“Walaupun tertangguh akibat pembatalan pembiayaan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU-14, Sarawak tetap juga akan bebas feri sepenuhnya pada tahun 2026 apabila kesemua 11 jambatan siap sepenuhnya.

“Baru-baru ini terdapat jambatan yang siap dan sudah digunakan seperti Jambatan Batang Sadong (2016) dan Batang Samarahan (2018),”katanya lagi.

Sembilan jambatan lain yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak juga katanya, kini berada dalam pelbagai fasa pembinaan dan dijangka dibuka dalam tempoh empat tahun akan datang.

“Dalam melindungi hak Sarawak dan tanah kita juga, kerajaan GPS juga telah selesai membeli semula empangan Bakun daripada Kerajaan Persekutuan pada tahun 2017 dengan harga yang akan memastikan Sarawak mendapat keuntungan besar pada masa hadapan.

“Sarawak kini mengawal sepenuhnya penjanaan elektrik dan kapasiti penghantaran sendiri yang membolehkan rakyat Sarawak menikmati tarif terendah dan elektrik paling bersih di Malaysia,” katanya.

GPS ujarnya, telah pun dilaksanakan untuk mengemudi Sarawak semasa fasa pemulihan dan ke arah pembangunan dan kehidupan yang lebih baik untuk semua rakyat Sarawak.

“Marilah kita memenuhi visi kita untuk Sarawak. Janganlah kita diganggu oleh golongan yang bertelagah dan berpecah belah, tidak cekap, hanya berminat untuk merebut kuasa tetapi tidak mempunyai perancangan jelas untuk Sarawak,” katanya.

Advertisement